PKP di Wilayah Persekutuan, 6 negeri dilanjutkan hingga 4 Feb

 

Perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 4 Februari untuk enam negeri dan kesemua Tiga Wilayah Persekutuan.

Ia melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan serta Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah.

Dengan lanjutan itu, kecuali Sarawak, PKP untuk seluruh Malaysia akan tamat pada hari yang sama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata lanjutan itu dibuat susulan kes baru Covid-19 terus meningkat.

“Di atas penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas bersetuju untuk melanjutkan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Johor, Kelantan dan Sabah sehingga 4 Feb 2021, yang kita seragamkan dengan negeri negeri lain yang diumumkan minggu lepas,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Buat masa ini, seluruh negara dikenakan penguatkuasaan PKP selain Sarawak yang berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Ismail berkata PKP Diperketatkan (PKPD) di Asrama Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bharu yang bermula 26 Disember lalu akan ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan.

“Sepanjang tempoh PKPD seramai 1585 penghuni menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 682 penghuni dikenal pasti positif Covid-19.

“Penilaian yang dilakukan KKM dalam tempoh berkenaan mendapati kes menunjukkan penurunan dan kes terakhir yang dilaporkan pada 12 Jan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, kawasan dan lokaliti ini masih tertakluk kepada PKP seluruh Johor,” katanya lagi.

Pada 11 Januari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP 2.0 yang bermula pada 13 hingga 26 Januari berikutan peningkatan berterusan kes Covid-19.

PKP di Kelantan dikuatkuasakan pada 16 Jan manakala Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan akan bermula esok.

Ia selepas kerajaan melihat peningkatan kes harian yang mencecah empat angka sejak November.

Berbanding PKP kali pertama pada Mac lalu, PKP kali ini dilihan kurang ketat dari segi penutupan ekonomi, dengan enam industri dan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di bawah protokol kesihatan yang ketat dan prosedur operasi standard.

Leave a Reply