Waspada panggilan Macau Scam melalui International Gateway


Hampir setiap hari media menyajikan berita mengenai rakyat Malaysia diperdaya sindiket Macau Scam hingga menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Antara sebab kebanyakan rakyat mudah menjadi mangsa kepada sindiket adalah identiti nombor telefon identiti sama seperti agensi sah dalam negara.

Sumber MalaysiaGazette mendedahkan, sindiket akan melakukan panggilan penipuan menggunakan aplikasi Voice Over Internet Protocol (VOIP) yang membuat penerima panggilan melihat nombor telefon yang mereka terima di paparan skrin seakan-akan nombor telefon pihak berkuasa, sekali gus menyakinkan mangsa bahawa panggilan itu adalah tulen.

Jelasnya, selain itu ada juga penjenayah yang menggunakan nombor talian telefon bimbit atau menggunakan nombor talian luar negara bagi membuat panggilan penipuan.

Kata beliau, sindiket yang mempunyai rangkaian besar termasuk di luar negara itu akan memanipulasi kemudahan rangkaian telekomunikasi negara termasuk di peringkat International Gateway (rangkaian telekomunikasi antarabangsa) untuk melakukan panggilan kepada rakyat negara ini.

“Berdasarkan siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita dapati setiap penipuan Macau Scam menerusi panggilan telefon dibuat melalui International Gateway dan nombor yang tertera akan mempunyai pelbagai identiti termasuk tanda + sebelum angka lain bagi menandakan ianya adalah nombor VOIP.

“Tanda + sebelum angka nombor telefon keluar susulan ia dibuat dari luar negara sama seperti kita terima panggilan dari negara lain akan ada kod negara berkenaan cuma ini mereka palsukan ikut kod negara kita,” katanya.

Menurut sumber tersebut, panggilan yang dibuat melalui Internation Gateway itu boleh disekat, namun pembekal perkhidmatan telekomunikasi dalam negara gagal melaksanakannya.

“Semua panggilan menggunakan nombor palsu itu akan melalui Internation Gateway tetapi pembekal perkhidmatan tidak mahu memasang alat khas yang boleh menyekat panggilan itu antara punca kita gagal tangani jenayah Macau Scam.

“Selain sekat panggilan, alat khas itu juga boleh mengesan lokasi panggilan tersebut ini sekali gus membuatkan kita tahu negara yang menjadi sasaran sindiket beroperasi,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis yakin sekiranya pembekal perkhidmatan telekomunikasi memberikan kerjasama yang lebih lagi penipuan sindiket Macau Scam dapat dikurangkan.

Setakat ini, pihak polis bersama sama SKMM dan semua syarikat telekomunikasi telah membuat sekatan ke atas panggilan panggilan VOIP yang menggunakan identiti pemanggil (Caller ID) nombor talian tetap milik pihak berkuasa, penyedia perkhidmatan atau institusi kewangan, tetapi adakala sekatan berkenaan berjaya dibolosi dan masyarakat masih lagi mudah percaya.

“Kita ambil contoh kerjasama pihak polis dengan pihak bank dapat mengurangkan kes penipuan membabitkan penggunaan keldai akaun.

“Jika dahulu duit itu mudah dikeluarkan sindiket tapi kini selepas kerjasama dijalinkan pihak bank akan menyekat akaun yang melakukan transaksi yang mencurigakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber memberitahu kecanggihan teknologi terkini aplikasi call spoofing juga boleh dimuat turun di telefon bimbit.

“Belum ada kes dilaporkan, namun siasatan polis mendapati aplikasi tersebut sudah boleh dimuat turun dan kita tidak menolak kemungkinan jika ia mampu mengaburi lokasi panggilan dibuat lebih ramai yang akan menjadi ‘keldai’ kepada sindiket untuk melakukan penipuan dalam negara.

“Bagi saya, seemua pihak termasuklah polis, SKMM, Bank Negara, syarikat syarikat telekomunikasi, institusi kewangan haruslah bekerjasama dalam memastikan rakyat negara ini terhindar dari menjadi mangsa dan seterusnya mengheret penjenayah ini ke muka pengadilan,” katanya. MG

Sering buat panggilan lucah, lelaki dipukul dua wanita hingga mati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker