TH lantik GM baharu Movenpick Hotel KLIA

Wan Enderi Mohd Saad
Wan Enderi Mohd Saad

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Wan Enderi Mohd Saad sebagai Pengurus Besar (GM) Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA berkuatkuasa 4 Januari 2021.

Wan Enderi mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri perhotelan serta hospitaliti dan di sepanjang kerjayanya, beliau pernah bertugas di beberapa hotel terkemuka dalam dan luar negara.

Pemegang ‘Executive MBA of Entrepreneur Hospitality & Tourism Administration & Management’ itu memulakan kerjaya sebagai Pegawai Khidmat Tetamu sebelum menyandang jawatan Pengurus Besar.

Beliau menyertai Kumpulan Accor pada 2011 sebagai Pengarah Operasi Bilik di Pullman Putrajaya Lakeside sebelum dilantik sebagai Penolong Pengurus Eksekutif di Ibis Styles KL Fraser Park pada 2013.

Wan Enderi kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Besar buat kali pertama di Avangio Hotel Kota Kinabalu, yang juga di bawah naungan Kumpulan Accor.

Beliau meninggalkan Kumpulan Accor dan menyertai E&O Residences, Kuala Lumpur sebagai Pengurus Hotel sebelum berpindah ke Thailand sebagai Pengurus Besar Impiana Resort di Koh Samui.

Selepas itu, beliau menyertai kembali Kumpulan Accor untuk pelantikan baharu sebagai Pengurus Besar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

“Saya amat berbesar hati dengan pelantikan ini dan harapan saya adalah untuk memartabatkan lagi industri perhotelan dan hospitaliti.

“Saya juga akan berusaha untuk memberikan pengalaman serta perkhidmatan yang terbaik kepada semua tetamu kami dan meletakkan Movenpick Hotel KLIA di dalam kelas yang tersendiri,” kata Wan Enderi dalam satu kenyataan.

Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA terletak di landskap seluas 7.2 hektar yang menampilkan kehijauan, kolam reflektif dan sungai, hanya beberapa minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Dimiliki oleh TH, hotel mesra Muslim itu mempunyai 333 bilik dan suite serta ruang eksekutif dan enam kedai makan.

Kemudahan rekreasi yang berasingan ditawarkan untuk tetamu wanita, termasuk kolam renang, gimnasium dan kemudahan spa.

Hotel itu juga menawarkan 17 ruang mesyuarat yang moden, dewan utama yang mampu memuatkan seramai 2,500 orang; kolam renang kanak-kanak, taman permainan dan gelanggang tenis.

Ia turut menyediakan pusat konvensyen yang sesuai untuk acara, pameran dan konvensyen antarabangsa berskala besar.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker