Lagu terakhir Sandra Dianne

MESKI Sandra Dianne sudah berpulang ke negeri abadi, cinta dan semangat yang ditinggalkannya masih bersemi.

Umum tahu, Sandra pergi ketika banyak cita-cita dan impiannya belum terlestari, termasuklah lagu yang belum sempat dilancarkannya berjudul Sandra.

Mendapat sentuhan komposer Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub, karya berkenaan diibaratkan terlalu istimewa. Sandra yang dicipta dengan muzik soul sememangnya mempunyai penuh makna mendalam buat Jonathan sendiri.

Menurutnya, bingkisan terakhirnya bersama Sandra penuh beremosi dan meruntun jiwa. Apatah lagi, jalan ceritanya berkisar mengenai seseorang yang ditinggalkan insan tersayang.

Berkongsi mengenai pembikinan lagu tersebut, Jonathan ternyata hilang kata-kata dengan pemergian Sandra. Baginya, penyanyi itulah yang sebenarnya paling layak mendapat kredit dalam menghidupkan lagu berkenaan.

Mana tidaknya, jiwa lagu tersebut tidak mungkin mampu jadi luar biasa tanpa alunan suara Allahyarham yang menjadi magis utama dalam Sandra.

“Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini. Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra.

“Tidak sangka, dia berjaya menyuntik magis dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya sendiri,” katanya.

Jika didengar secara kasar, lagu tersebut nampak santai, namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam. Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar di mana bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta.

JASADNYA telah tiada, namun Sandra Dianne kini boleh dikenang menerusi lagu baharu berjudul Sandra.
Inspirasi

Menurut Jonathan, inspirasi lagu tersebut terbit daripada kisah pemergian pelakon popular Ashraf Sinclair awal tahun ini.

“Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya memang sangat meruntun hati. Daripada situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus.

“Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini. Saya puji Sandra apabila berjaya menyalurkannya dengan baik.

“Proses pembikinan lagu ini sebenarnya mengambil masa sekitar sebulan. Selepas mendengarnya, Sandra pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini. Disebabkan itu, kami berjaya siapkan dalam beberapa jam sahaja,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Jonathan memberitahu lagu Sandra dibuat bukan setakat untuk mereka yang kehilangan seseorang disebabkan meninggal dunia.

Sebaliknya, single tersebut sesuai dengan situasi sesiapa juga termasuk pasangan bercinta apabila ditinggalkan kekasih. Meski galau kerana bersedih, mereka tetap harus kuat meleraikan kesedihan yang dirasai.

“Lagu ini bukan untuk meratapi pemergian orang tersayang sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang memberi refleksi terhadap hal itu.

“Bagaimanapun, elemen kesedihan pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta penyampaian bait-bait liriknya,” katanya lagi.

September lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi Sandra selepas enam hari koma akibat terbabit dalam nahas jalan raya.

Sandra, 26, terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada 5 September apabila kereta jenis Great Wall yang dipandunya terbabas sewaktu bersama sepupunya dalam perjalanan ke latihan program Big Stage di Putrajaya.

Penyanyi kelahiran Sabah itu sebelum ini meledak menerusi lagu Hey! Kau, Terkemuka, Tulus, dan Jelaskan.

Lagu Sandra boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. K Online

Takziah : Penyanyi & Peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne Meninggal Dunia

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker