Tiada lelaki mahu mendekati saya – Noralbaniah

Pelakon, Noralbaniah, 51, tidak lagi mengharapkan jodoh selepas 25 tahun hidup tanpa lelaki bergelar suami.

Noralbaniah berkata, bukan tiada keinginan mempunyai ‘teman hidup’, lebih lagi melihat orang lain hidup berpasangan, tetapi tiada lelaki mendekatinya.

“Secara jujurnya, tiada siapa mendekati saya. Entahlah, saya pun tak tahu mengapa tiada lelaki sukakan saya, mungkin tak berani ataupun disebabkan faktor usia. Atau, mungkin juga sebab saya tak cantik.

“Tak mengapalah, saya pun tidak terdesak mencari, malah saya juga jarang keluar bertemu sesiapa. Saya tidak kisah kerana sudah terbiasa hidup sendiri.

“Saya anggap ini ketentuan Allah. Mungkin Allah pelihara saya daripada dugaan rumah tangga. Apabila berfikiran positif, saya jadi reda. Saya tahu biarpun tiada pasangan yang boleh menjaga saya pada hari tua, tetapi pasti Allah pelihara saya,” katanya kepada BH Online.

Noralbaniah yang popular sekitar era 1990-an pernah mendirikan rumah tangga bersama pelumba kereta, Allahyarham Sudarman Daud pada 1993. Namun, jodoh tidak panjang apabila suaminya meninggal dunia dalam kemalangan di Bukit Antarabangsa pada 11 Jun 1996.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kereta dipandu arwah Sudarman dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik beberapa kali. Pasangan itu dikatakan tercampak keluar ketika kereta terbalik, sebelum menghempap arwah.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan dikenali sebagai Syarra, 26.

Sejak kematian suami, Nor Albaniah berkata, dia tidak pernah berkahwin lain dan hanya membesarkan anak tunggalnya seorang diri.

Masih mengingati detik ngeri itu, Nor Albaniah berkata, suami meninggal dunia dalam perjalanan pergi menyambut ulang tahun kelahiran arwah pada 10 Jun 1996.

“Kami mahu keluar menyambut hari jadi dan mengalami kemalangan ngeri dalam perjalanan. Suami meninggal dalam perjalanan ke hospital. Saya pula hanya mendapat tahu berita kematian selepas dua minggu berikutan saya cedera parah ketika itu,” katanya.

Noralbaniah, dia sudah lama menerima hakikat hidup bersendirian, apatah lagi, apa yang berlalu sekian lama berlalu.

“Kesedihan juga sudah lama berlalu. Ini kerana, saya harus meneruskan hidup bersama anak tunggalnya.

“Saya akui, kira-kira 10 tahun lalu saya ada perasaan mahu kembali berumah tangga, tetapi kini, tidak lagi. Apabila berjalan melihat wanita lain bersama suami, ada juga rasa nak mempunyai pelengkap hidup.

“Tetapi, kini, saya sekian lama bersendirian, jadi sudah terbiasa. Mungkin saya hanya sempat merasa hidup berpasangan selama dua tahun sahaja, jadi bila kembali solo, perbezaan tidak terlalu ketara.

“Malah, sebelum ini, saya tinggal bersama abang, jadi apabila ada anak dan cucu saudara, tak rasa sunyi. Sebab itulah, saya tak terlalu memikirkan soal jodoh,” kata anak bongsu dari lima beradik itu.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Noralbaniah bersyukur, masih menerima tawaran lakonan hingga sekarang.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan masih ada, malah saya sedang menjayakan drama Aku Seorang Perempuan. Saya sentiasa berdoa supaya rezeki tidak putus. Saya memerlukan pendapatan untuk menanggung hidup, memandangkan saya seorang diri, kena berusaha sendiri,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker