Sabrina Ali kahwin kali ketiga

Selepas tujuh tahun bergelar ibu tunggal, pelakon, Sabrina Ali, akhirnya menamatkan zaman solonya dengan memilih Wanji Aswandi sebagai suami.

Sabrina dan Wanji disatukan sebagai suami isteri di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Sabtu lalu. Sabrina memilih Wanji yang juga duda sejak sembilan tahun lalu.

“Kami mula kenal sejak Ogos lalu. Daripada status kawan ke teman rapat. Barangkali, mungkin disebabkan pernah berkahwin, jadi kami pantas mencipta keserasian dan memahami antara satu sama lain.

“Suami juga berdarah seni seperti saya. Dia bergelar pengarah aksi, penyanyi, pelakon, guru silat, penulis skrip dan buku.

“Kami pernah gagal dalam perkahwinan, sebelum ini. Semoga rumah tangga yang baru dibina ini akan kekal hingga ke akhir hayat,” katanya kepada BH Online.

Sabrina berkata, majlis pernikahannya berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri 50 tetamu di kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat.

“Saya dan suami merancang mengadakan majlis resepsi, tahun depan sebelum bulan Ramadan. Tetapi, semuanya bergantung dengan situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi filem Khurafat – Perjanjian Syaitan dan Munafik itu memilih untuk tidak berkongsi butiran lanjut pernikahannya.

“Cukuplah, orang tahu saya sudah sah bernikah. Butiran lain seperti mas kahwin, wang dan dulang hantaran, saya memilih untuk tidak mendedahkannya,” katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Sabrina dikurniakan cahaya mata perempuan, Ariyana, 13. Dua lagi cahaya mata, Syed Aryan Khan, 9, dan Syed Adrian Khan, 7, pula menerusi perkahwinan kedua. BH

Bernikah Dengan Sabrina Ali, Ini Jawapan Saiful Apek

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker