Lagu Cinta Kita trending sejak mula
Mencipta rekod dalam penghasilan program realiti era pandemik COVID-19, musim kedua Lagu Cinta Kita (LCK2) terbitan TV3, mencatatkan hampir empat juta tontonan saban minggu dan trending setiap kali disiarkan.
Menemui penonton sejak 8 November lalu, episod keenam LCK2 Ahad lalu, memecah rekod apabila menarik 3.84 juta penonton lantas trending, biarpun ketika itu, sebuah stesen televisyen (TV) kabel menyiarkan siaran langsung acara anugerah.
Bakal melabuhkan tirai dua minggu saja lagi, LCK2 yang juga program mencari jodoh sambil mengasah bakat menyanyi, terus konsisten dengan rating penonton dan pengisian penuh kejutan.
Tidak hairanlah, pemerhati industri hiburan mula memperkatakan mengenai LCK2 yang dianggap program realiti sukses yang dipakej dengan elemen mantap baik dalam aspek pengisian termasuk kuasa tarikan, ketika industri penerbitan bangkit dalam berdepan COVID-19.
Penerbit Eksekutif LCK2, Muhammad Sufian Che Isa, berkata, produksi tidak pernah merancang gimik dalam setiap episod LCK2 sehingga trending. Sebaliknya, akui Sufian, semuanya berlaku secara spontan.
“Setiap perkara yang muncul trending dalam LCK2 tidak pernah dirancang. Namun, kami tidak menafikan, ketika dipertanggungjawab menerbitkan program itu, ia memberikan tekanan kepada kami untuk memastikan program itu mampu menyaingi program realiti sedia ada,” katanya kepada BH Online.
Sufian berkata, biarpun diadaptasikan daripada program CJ ENM, Love At First Song, namun tanggungjawab digalas, bukannya mudah.
Apatah lagi, berdepan saingan program realiti stesen TV lain yang sudah kukuh jenamanya dan menemui penonton pada waktu kemuncak jam 9 malam, setiap Ahad.
“Dalam menerbitkan LCK2, kami tidak boleh mengubah format nyanyian. Ini kerana ia diadaptasikan daripada program hiburan Korea Selatan.
“Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah menambah intipati rancangan agar menarik. Ketika sesi sumbang saran antara Primework Studios dan Media Prima Omnia kami ‘pecah kepala’ memikirkan bagaimana LCK2 boleh jadi ‘trending’.
“Ini kerana format tidak boleh ditukar secara sesuka hati. Kami cuba mantapkan dengan pemilihan hos yang tepat dan juri yang sesuai,” katanya.
Keputusan menggandingkan pengacara berpengalaman, Azwan Ali yang sudah lama tidak muncul di kaca TV bersama Elly Mazlein juga diakui Sufian sebagai pilihan tepat.
Gandingan mereka menjadi bahan bualan ramai hingga LCK2 menjadi perhatian dan tarikan saban minggu.
Selain itu, kata Sufian, produksi juga menitik beratkan pemilihan juri mantap. Ternyata, pelantikan Mas Idayu, Ajai dan Hael Husaini tidak mengecewakan malah menjadi faktor menarik penonton apatah lagi dengan ‘drama’ dicetuskan mereka di set.
“Ketika membuat pemilihan juri, kami lihat faktor kesesuaian juri untuk ditampilkan. Kami mahukan juri yang bersahaja. Apa sahaja komen mereka lontarkan adalah jujur dan tidak dibuat-buat.
“Atas sebab itu, kami memilih Mas Idayu kerana beliau sering tampil dengan komen yang tidak berlapik. Kami tahu ia boleh menjadi tarikan untuk penonton terus melekat dengan program itu.
“Ajai pula tidak memberikan komen kosong. Dia berilmu manakala Hael pula bertindak sebagai pelindung,” katanya.
Sufian berkata, LCK2 yang bersiaran dua jam memberi cabaran untuk memastikan penonton ‘melekat’ di hadapan TV.
“Itulah sebabnya kami perlu memastikan pemilihan pengacara dan juri yang tepat. Malah, kami tidak sangka, pemilihan Azwan dan Elly memberi impak besar kepada program itu,” katanya yang dipertanggungjawabkan mengendali program realiti terbitan TV3 sejak 2005.
Tambah Sufian, pengalaman lebih 15 tahun menerbitkan program realiti banyak membantu terutama dalam merancang bagaimana hendak menjadikan kandungannya menarik.
Apatah lagi, katanya, penonton semakin bijak dalam menilai sesebuah program. Justeru, mereka tidak boleh menghasilkan program sambil lewa lebih-lebih lagi LCK2 adalah sebuah program baharu.
“Untuk program baharu, kami perlu tahu bagaimana mahu menarik perhatian audiens,” katanya.
Sufian berkata, antara langkah diambil, setiap minggu, mereka mengundang ahli panel berbeza untuk berbicara mengenai topik cinta.
Bagi minggu separuh akhir dan pentas akhir, katanya, produksi tidak merangka sebarang gimik sebaliknya elemen spontan yang diharap viral.
Lapan pasangan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir ialah Syafiq & Serra, Fariqwan & Mina, Kael & Evie dan Adly & Darlin. Turut bersaing Iss & Mya, Amir & Balqis, Khareez & Nadeera dan Hafiz & Mafa.
Pada musim pertama, Lagu Cinta Kita menobatkan Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara. Keserasian yang wujud antara sekali gus membibitkan perasaan cinta sehingga ke jenjang pelamin pada 25 Julai lalu. BH
Sufian Suhaimi Hadiri Kursus Kahwin, Bakal Akhiri Zaman Bujang Tak Lama Lagi?