Ikmal sebak sejurus nikah

SELEPAS tujuh bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Ikmal Amry selamat melangsungkan pernikahan dengan personaliti media sosial iaitu Najla Shamsul di kediaman pengantin perempuan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pada majlis itu, Ikmal, 26, atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM15,000 serta tujuh dulang hantaran kepada pihak perempuan dan dibalas dengan sembilan dulang.

Majlis akad nikah dilakukan bapa pengantin perempuan, Shamsul Kamar yang turut dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak, serta rakan rapat.

Selesai sahaja majlis akad nikah, Ikmal gagal menahan sebak dan air matanya mengalir dengan disaksikan oleh keluarga dan rakannya.

Kata Ikmal, dia berasa sebak apabila mengenang kembali jatuh bangun dalam melayari perhubungan dengan Najla selama empat tahun serta tanggungjawab baharu yang harus dipikul selepas dijaga dengan rapi oleh ibu bapanya.

“Saya tiba-tiba terkenangkan semula saat manis bersama ibu dan bapa selama 26 tahun mereka membesarkan saya sehingga perasaan sedih itu menerpa secara tiba-tiba.

“Saya akui perkenalan dengan Najla tidak berlangsung dengan mudah selama empat tahun ini. Kami melalui banyak jatuh bangun bersama, namun kami harungi setiap dugaan yang datang sehingga mengikat janji untuk hidup bersama.

“Macam ada satu tiupan yang datang sehingga membuatkan saya mengimbas kembali setiap kisah itu. Perkahwinan ini adalah satu tanggungjawab baharu, yang harus saya pikul dengan sebaik mungkin dan saya mohon doakan urusan kami suami isteri dipermudahkan,” katanya.

Biarpun mendirikan mahligai perkahwinan di usia muda, Ikmal bagaimanapun percaya rezeki dalam bidang lakonan yang masih ‘hijau’ ini akan terus bercambah dan dipermudahkan.

“Sebelum berkahwin, saya sudah pasang niat dalam hati bahawa saya berkahwin kerana Allah. Saya percaya apabila kita niat sesuatu perkara yang baik, semuanya akan berlangsung dengan baik.

“Jangan sesekali kita ada niat lain seperti nak kahwin kerana bakal isteri cantik, sebab nafsu, nak dapatkan populariti atau apa-apa, sebaliknya ini adalah satu tuntutan dan saya tak nak buat dosa. Perkahwinan adalah perkara yang baik dan tak salah untuk saya segerakan, apabila sudah sampai waktu.

“Soal rezeki saya percaya dengan ketentuan Allah. Saya hanya mampu berdoa supaya rezeki perkahwinan ini turut dapat membantu ahli keluarga, adik-beradik dan orang susah. Saya sentiasa percaya bahawa perkahwinan akan membawa rezeki kepada kita,” katanya.

Didikan buat isteri

Memikul tanggungjawab sebagai suami bukan satu tugas yang mudah, Ikmal mengakui ada tanggungjawab yang perlu dilakukan serta memberikan didikan terbaik kepada isteri tercinta dalam melayari hari-hari mendatang.

Kata Ikmal, selepas sah bergelar suami kepada suri hidupnya, dia kini akan fokus dalam memberikan didikan agama buat Najla.

“Insha-Allah saya akan terapkan segala didikan yang diberikan ibu dan ayah saya kepada Najla untuk dia menjadi isteri yang solehah.

“Saya akan pastikan dia menjaga solatnya. Namun, soal menutup aurat saya tak nak paksa. Saya ingin memberinya ruang dan masa untuk dia berubah apabila sudah bersedia.

“Bagaimanapun, dalam masa sama saya akan didik ajaran dituntut agama dalam dirinya. Walaupun kami berdua masih muda, tapi kami tak boleh megenetepikan agama,” katanya yang sudah menyediakan sebuah rumah untuk mereka tinggal bersama di Damansara.

Menyentuh mengenai majlis resepsi sebelah lelaki, Ikmal berkata, kemungkinan acara itu akan dilakukan di Kuala Lumpur pada tahun depan.

“Jika keadaan mengizinkan saya akan mengadakan majlis resepsi sebelah lelaki pada hujung Januari, tahun depan. Jemputan pun mungkin tak ramai, tapi sekiranya keadaan negara terkawal saya teringin juga nak mengajak lebih ramai tetamu.

“Saya akan bercuti sehingga 23 Disember dan kembali bekerja semula untuk menghabiskan baki penggambaran filem Rasuk,” katanya yang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menimang cahaya mata.

Selain itu, Ikmal juga berkongsi keperibadian Najla sehingga membuatkan dirinya tertarik dan mengambil keputusan memperisterikan wanita itu.

“Najla seorang wanita yang lembut. Namun apa yang membuatkan saya jatuh cinta dengannya adalah sikap kejujurannya. Dia sentiasa jujur dalam segala hal dan sering menasihati saya dalam banyak perkara.

“Bagi saya, dalam melayari kehidupan sebagai suami isteri, kejujuran adalah perkara yang mustahak. Kalau nak hidup bersama, kena ada sikap yang jujur barulah semua benda jadi mudah dan senang,” katanya. HM

Ibu bapa hanya buat apa yang difikir terbaik untuk anak – Ikmal…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker