Perkataan ‘celupar’ Cliff Umar makan diri

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Itulah situasi dialami juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GF7), Cliff Umar, 37, apabila dia ‘terlepas cakap’ berhubung pemakaian pelitup muka yang dikatakan merimaskan, pada malam akhir program realiti itu berlangsung malam kelmarin.

Kenyataan vokalis kumpulan Projek Pistol itu mengundang kemarahan netizen kerana dianggap tidak sensitif dan mengguris hati banyak pihak.

Malah, ayat yang dianggap ‘celupar’ itu didakwa sebagai memperlekehkan pengorbanan petugas barisan hadapan yang diketahui sentiasa mengenakan pelitup muka dan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) demi keselamatan, sekali gus memastikan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Apabila kenyataan sebegitu dilafazkan di hadapan penonton secara terbuka, momen manis kemenangan Cliff secara tidak langsung tercalar gara-gara keterlanjuran lisannya itu.

Mengulas perkara itu, Cliff berkata, dia tidak berniat mahu memperlekehkan pemakaian pelitup muka yang kini menjadi amalan norma baharu dalam masyarakat hari ini.

Enggan membiarkan kontroversi terus berlarutan, pemilik nama lengkap Abdullah Umar Joseph Abdullah memohon maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan dikeluarkannya, sekali gus menafikan tanggapan dirinya memandang enteng soal prosedur operasi standard (SOP) seperti diperdebatkan dalam laman sosial.


“Saya minta maaf, terlepas cakap. Saya tak bermaksud mengguris hati sesiapa termasuk petugas barisan hadapan. Apa yang dimaksudkan dengan merimaskan itu ialah apabila bercakap dengan memakai pelitup muka, permukaannya jadi berkuap dan ia menyukarkan saya memberikan ucapan kemenangan.

“Sekali lagi saya minta maaf. Saya tiada niat langsung untuk buat orang terasa,” katanya pada sidang media sejurus selepas konsert akhir GV7 yang dipancarkan secara langsung dari Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya berakhir.

Sebagai juara, Cliff berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian dan sebuah trofi. Pada malam kemuncak itu, penyanyi Muss dinobatkan sebagai naib juara, manakala Ayu Damit mengungguli tempat ketiga.

Peserta yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dan Linda Nanuwil berpuas hati pada kedudukan keempat dan kelima, manakala Oja dan Ashira memenangi tempat keenam dan ketujuh.

Cliff berkata, dia terlepas cakap berikutan terlalu terkejut apabila nama diumumkan juara kerana tidak pernah terlintas di fikirannya meraih kejayaan itu.

“Saya tak sangka langsung akan menang. Justeru, saya terkejut dan terkeluar kenyataan tidak sepatutnya diungkapkan apabila nama diumumkan sebagai juara.

“Tidak dinafikan, karakter saya yang pernah melalui pelbagai episod pahit dalam kehidupan menyebabkan saya sedikit emosi dan gagal mengawal diri dalam mengeluarkan kata-kata.


“Kebiasaannya, saya akan berfikir terlebih dulu sebelum bercakap. Mungkin saya terlalu teruja menyebabkan terlepas cakap,” katanya kepada BH Online.

Kemunculan Cliff dalam program realiti itu nyata menjadi bualan ramai kerana lelaki tinggi lampai itu memiliki pesona tersendiri terutama ketika beraksi atas pentas.

Namun, tidak kurang yang mempersoalkan status agamanya berikutan ada tatu di badannya.

Mengulas perkara itu, Cliff berkata, tatu itu dibuat sebelum dia memeluk Islam kira-kira 14 tahun lalu. Dia sudah merujuk perkara itu kepada tokoh agama untuk mendapatkan nasihat.

“Saya pernah minta nasihat ustaz berhubung tatu ini. Ustaz memberitahu saya tak perlu membuangnya sehingga boleh memudaratkan diri. Lagipun, kos diperlukan membuang tatu ini sangat mahal kerana ia menggunakan kaedah laser. Itupun untuk sesetengah bahagian saja, sedangkan tatu saya hampir di seluruh badan.

“Sebelum ini, saya pernah menjalankan prosedur membuang tatu. Bukan saja meninggalkan parut, tetapi sangat sakit,” katanya.

Bukan saja status agama dipersoalkan, tetapi penyanyi yang popular dengan lagu Wanita Seluruh Dunia itu juga didakwa mengamalkan poligami apabila dikatakan mempunyai dua isteri.

Ketika diajukan pertanyaan itu kepadanya, Cliff berkata, perkara itu timbul berikutan salah tafsir orang terhadap kenyataannya.


“Saya sering memberitahu ada dua isteri, tetapi apa yang dimaksudkan adalah bekas isteri dan isteri saya sekarang. Sejujurnya, hubungan saya dengan bekas isteri masih baik hingga kini.

“Malah, isteri saya sekarang pun baik dengannya. Kami memang tak ada masalah. Apa yang kami lakukan demi anak-anak,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu sambil ketawa.

Cliff berkata, dia bercerai dengan isteri pertama empat tahun lalu sebelum kembali bergelar suami selepas setahun menjadi duda.

Sementara itu, mengulas kemenangannya sebagai juara, Cliff berkata, kemenangan bukan sasaran utama apabila mengambil keputusan menyertai program realiti berkenaan.

“Saya mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin. Siapa sangka penyanyi genre rock metal seperti saya menyanyikan lagu Pesanan Buat Kekasih nyanyian Ameng Spring. Walaupun tak sesedap penyanyi asal, tetapi saya boleh menyampaikannya dengan cara tersendiri.

“Saya banyak belajar terutama dari segi teknik pernafasan. Saya berusaha keras untuk ini. Disebabkan itu, apabila nama saya diumumkan juara, saya terpinga-pinga.

“Ini kerana saya tak pernah fikir akan menang. Apabila tinggal kami berdua atas pentas, saya memang menjangka abang Muss akan menang kerana dia seorang legenda,” cerita Cliff atau nama asalnya, Clifford Hugh Joseph.

Walaupun semakin dikenali, Cliff berkata, dia tidak akan sesekali bersikap seperti kacang lupakan kulit dengan meninggalkan kumpulan Projek Pistol demi untuk bergerak solo.

“Kami tidak akan berpecah dan ada banyak projek menanti. Antaranya, sambutan ulang tahun ke-10 Projek Pistol dan pembikinan album metal rap bersama rapper terkenal, Reefa, selain lagu solo.

“Mungkin jika ada rezeki, saya teringin berkolaborasi dengan rakan dalam GV7. Itupun, jika mereka sudi,” katanya.

Persembahan peserta diadili juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Syafinaz Selamat, manakala Joe Flizzow bertindak sebagai juri jemputan. GV7 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. BH

Cliff Umar jawab isu tatu, dua isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker