Michelle Yeoh sah bintangi filem Marvel ‘Shang-Chi’

Michelle Yeoh disahkan akan membintangi filem Shang-Chi and Legend of the Ten Rings pada tahun depan, sekali gus menjadi pelakon Malaysia pertama tampil dalam filem Marvel Cinematic Universe.

Disney pada Khamis lalu secara rasmi mengumumkan bahawa Yeoh akan beraksi dalam filem berkenaan bersama pelakon Simu Liu yang memegang watak komik adiwira ‘Shang-Chi’.

Shang-Chi akan ditayangkan pada 9 Julai tahun depan.

Yeoh, yang kini membintangi Star Trek: Discovery akan bersatu kembali dengan bintang Crazy Rich Asians, Awkwafina, yang sebelum ini disahkan akan bergandingan bersama Liu.

Yeoh akan melakonkan watak bernama Jiang Nan dalam filem berkenaan.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Yeoh mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas membintangi filem James Bond Tomorrow Never Dies (1997), Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) dan filem biopik Aung San Suu Kyi The Lady (2011).

Penggambaran Shang-Chi selesai awal tahun ini setelah pihak produksi menanguhkannya seketika akibat wabak Covid-19.

Disutradarai oleh Destin Daniel Cretton, filem ini memperkenalkan watak adiwira Shang-Chi dalam Marvel Cinematic Universe, iaitu watak daripada komik yang diterbitkan pada tahun 1973.

Filem ini juga akan menampilkan Tony Leung sebagai penjahat legenda yang mengetuai organisasi pengganas Ten Rings.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker