Semoga ukhuwah saya dan Awie terus terpateri indah – Erra Fazira

Projek besar Erra Fazira

Kali terakhir muncul dengan single balada Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun, tahun lalu, pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira merancang projek besar menerbitkan album penuh dengan 10 lagu.

Ketika penyanyi lain lebih cenderung merakamkan single, usaha Erra atau nama penuh, Fazira Wan Chek untuk menghasilkan album membuktikan kesungguhannya menghargai peminat.

“Sekalipun saya dilihat lebih aktif dalam dunia lakonan, bidang nyanyian tidak dilupakan begitu sahaja.

“Saya sudah mula meminta lagu daripada beberapa komposer.

“Jika kena jiwa dan sesuai dengan masa, pasti saya akan cari ruang untuk merakamkan album berkenaan.

“Memang aliran sekarang adalah pasaran single, tetapi saya terfikir untuk menghasilkan album penuh. Saya mahu mengabadikan album itu sebagai hadiah istimewa buat peminat tersayang,” katanya kepada BH Online.

Kali terakhir ibu Engku Aleesya Engku Emran ini menerbitkan album adalah pada 2006 apabila tampil dengan Ya atau Tidak.

Erra yang tujuh kali meraih trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dan masih tercalon pada edisi terbaru, bulan lalu, mahu lebih aktif atau ‘all out’ tahun depan.

“Apabila kita berdepan pandemik COVID-19, ramai yang terkena impaknya. Saya tidak ketinggalan merasai getir itu.

“Namun, kita semua perlu terus kuat dan bangkit… Insya-Allah,” katanya.

Erra berkata, semua pihak perlu kebal dalam meneruskan kelangsungan hidup dan bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

“Insya-Allah, saya mahu berhabis-habisan dalam dunia seni pada 2021. Selain berlakon dan menyanyi, jika ada ruang untuk menjadi pengacara, saya akan menimbangkannya,” katanya.

Erra yang banyak terbabit dalam filem arahan Datuk Yusof Haslam seperti Sembilu dan Maria Mariana berbangga dapat membintangi drama kepolisan Gerak Khas.

Tidak hairanlah, Erra terhutang budi dengan Skop Productions milik Yusof.

“Banyak filem yang saya lakonkan termasuk Gerak Khas The Movie dengan memegang watak Inspektor Syafiqah pada 2001.

“Saya juga bersama drama bersiri Gerak Khas sebanyak dua musim watak Asisten Superintendan (ASP) Jeslina,” katanya.

Erra turut diberi penghormatan membintangi musim terakhir Gerak Khas The Finale yang sedang ditayangkan TV3.

Semua orang tahu, suatu ketika dahulu, Erra dan penyanyi, Datuk Awie pernah menjalinkan hubungan intim. Namun, sudah ditakdirkan, percintaan mereka terlerai dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Membuang jauh kenangan lama, Erra dan Awie masih bersahabat dan tidak pernah berdendam jauh sekali bermusuhan hanya kerana peristiwa lalu.

Malah, terbaru, Erra sempat membuat penampilan ‘cameo’ dalam telefilem Sue On bergandingan dengan Awie.

Bagi Erra, hubungan profesional yang terjalin antara mereka terus utuh.

Malah, Erra menghadiahkan Awie set penjagaan rambut sempena ulang tahun ke-52 penyanyi dan pelakon itu, bulan lalu.

“Semoga terus panjang umur dan murah rezeki buat Awie. Semoga ukhuwah saya dan Awie terus terpateri indah.

“Saya doakan isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin yang akan melahirkan cahaya mata mereka, tidak lama lagi. Sekarang sudah lebih tujuh bulan usia kandungannya.

“Semoga seisi keluarga sentiasa dalam rahmat Allah, berjaya dan bahagia zahir, batin, dunia serta akhirat,” katanya.

Bagi Erra, dia selesa meneruskan kehidupan solo tanpa tekanan.

Namun, sudah lumrah, selagi belum bertemu pengganti, soal jodoh akan terus diajukan kepada si jelita ini.

“Saya diajukan soalan jodoh sejak zaman saya mula-mula menceburi dunia seni.

“Saya tidak tahu kenapa kisah cinta dan jodoh sering menjadi fokus dan bualan. Tetapi saya anggap ini asam garam menjadi anak seni.

“Pada awalnya, mungkin saya agak rimas, tapi kini Alhamdulillah, seiring pengalaman, fikiran jadi matang,” katanya.

Erra melihat daripada sudut positif iaitu apabila diri disayangi, semua orang mahu ambil tahu dan melihat dirinya bahagia.

“Peminat sering mendoakan kita bertemu jodoh yang baik.

“Tolak tepi ‘haters’ kerana mungkin mereka tetap mencari sisi negatif biarpun ada positif di dalamnya,” katanya. BH

Akhirnya Erra Fazira selamat diijabkabulkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker