Muzikal Lawak Superstar musim kedua tampilkan 14 kumpulan pelawak, selebriti

Program realiti Muzikal Lawak Superstar (MLS) di Astro Warna bakal kembali untuk musim kedua bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya secara eksklusif di saluran Astro Warna HD (107) dan Astro Warna (127) pada setiap Jumaat, jam 9 malam mulai 18 Disember 2020 ini.

Program yang sarat dengan gelak tawa ini juga boleh disaksikan menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di on demand, serta juga boleh dinikmati menerusi platform digital melalui saluran YouTube rasmi Astro Gempak.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, sebanyak 14 kumpulan yang tediri daripada barisan pelawak dan selebriti dari pelbagai cabang industri hiburan termasuklah pelakon, penyanyi dan personaliti popular.

Program yang bakal bersiaran selama 12 minggu berturut-turut ini akan dikemudikan oleh dua nama sensasi dalam industri, Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.

Lebih menarik lagi, lagenda rock tanah air, Datuk Awie akan menjadi juri tetap, bakal digandingkan dengan Fazura dan Zul Ariffin.

“Penganjuran Muzikal Lawak Superstar untuk musim kedua ini adalah satu kebanggaan bagi kami. Dengan kejayaan MLS musim pertama tahun lalu serta penganjuran The Masked Singer Malaysia yang melabuhkan tirainya baru-baru ini, kami melihat perkembangan yang memberangsangkan terhadap genre komedi muzikal.

“Ini menjadi dorongan untuk kami selaku peneraju kandungan komedi utama tanah air terus menghasilkan konten yang lebih segar, lagi berkualiti demi menepati kehendak penonton,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya lagi, MLS musim kedua ini mengekalkan format ‘2 pelawak + 1 selebriti’ bagi setiap kumpulan.

Antara selebriti yang terlibat pada musim ini adalah Fakhrul UNIC, Khir Rahman, Syura, Keena Mentor, Cik B, Azmi Caliph Buskers, Johan Asaari, Ezlynn, Roy Azman, Zahid AF, Mark Adam, Lan Solo dan Fiza Thomas.

Setiap minggu, kesemua kumpulan akan diberikan 3-5 minit untuk melakukan persembahan sketsa komedi muzikal berdasarkan tema lokasi yang ditugaskan, seperti alam fantasi, majlis keramaian, institusi pendidikan, mercu tanda ikonik, negeri-negeri di Malaysia dan sebagainya.

Selari dengan tagline ‘Dalam Komedi Ada Nyanyi’, pemberian markah ditentukan menerusi tahap kreativiti sketsa komedi, kreativiti lirik serta dialog, lakonan dan persembahan pentas serta nyanyian yang dipersembahkan.

Pemenang keseluruhan bagi MLS musim kedua ini akan membawa pulang wang tunai RM150,000 serta akan mendermakan RM10 ribu kepada badan kebajikan yang tertentu.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM75,000 dan RM50,000. Tempat keempat tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana juga akan menerima wang tunai RM25,000 sebagai hadiah kemenangan. MG

Man Raja Lawak sediakan RM50,000 untuk bantu rakyat Malaysia yang susah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker