Banjir Termenung: Sudah lima hari Kampung Padang Garam masih digenangi air



MARANG: Meskipun cuaca kini telah kembali cerah dan panas sejak kira-kira empat hari lepas, namun penduduk di Kampung Padang Garam di sini masih ‘terperangkap’ di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan paras air di kawasan rumah masing-masing masih tidak banyak berubah.

Ia merupakan satu fenomena yang dirujuk ramai sebagai ‘banjir termenung’, apabila air bagaikan bertakung di seluruh kampung, tidak dapat mengalir ke mana-mana.

Penduduk kampung Napisah Said, 71, berkata beliau terpaksa tinggal di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang di sini, sejak 24 Nov lepas iaitu hari pertama banjir gelombang kedua melanda Terengganu sehingga ke hari ini, berikutan rumahnya masih dinaiki air hingga ke paras pinggang.

“Pada hari pertama banjir, air naik ke rumah hingga paras dada, hari ini air baru surut ke paras pinggang.

“Bila makcik tengok orang lain dapat pulang ke rumah makcik pun berasa tidak sabar hendak pulang juga sampaikan makcik telah siap mengemas pagi tadi.




“Namun tengah hari tadi penghulu kampung beritahu tidak boleh balik lagi sebab air masih tinggi.

“Kecewa juga makcik kerana bosan tidak dapat berbuat apa-apa di sini (PPS). Selalunya banjir ‘termenung’ antara seminggu hingga dua minggu.

“Paling lama sebulan. Harapnya kali ini tidak lah sampai sebulan. Jika tidak makcik pun turut ‘termenung’ sekali,” katanya secara berjenaka ketika ditemui Bernama di PPS SMK Merchang, di sini hari ini.

Warga emas itu yang tinggal bersendirian berikutan lima anaknya telah berkahwin dan menetap di kawasan lain berkata, banjir ‘termenung’ merupakan situasi biasa yang dihadapinya sejak tinggal di Kampung Padang Garam kira-kira 40 tahun lepas.

Napisah berkata beliau juga tidak pernah membeli sebarang perabot seperti sofa di rumahnya kerana enggan menanggung kerugian akibat rosak setiap kali musim banjir.




Sementara itu Puteri Yasmin Abdul Mubi, 29, berkata situasi banjir termenung itu turut menenggelamkan kebun tembikainya seluas kira-kira dua hektar yang terletak di sekeliling rumahnya.
“Hujan hanya turun dua hari sahaja tetapi hendak tunggu air betul-betul surut ambil masa lebih seminggu.
“Nasib baik rumah saya tidak dimasuki air kerana rumah dibina tinggi tetapi halaman rumah masih dinaiki air hingga ke paras betis.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir yang turut merangkumi Kampung Padang Garam berkata banjir termenung yang menjejaskan kira-kira 16 penduduk dari tujuh buah rumah itu, berlaku disebabkan kedudukan kampung itu yang terlalu rendah.

Selain itu ia juga disebabkan aktiviti pembalakan pokok gelam yang terdapat di sekitar Kampung Padang Garam oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan sistem perparitan tersumbat, sekali gus mengakibatkan air dari kawasan banjir tidak dapat mengalir ke Sungai Merchang.

“Sistem perparitan itu sering dibaiki, tetapi selagi ada aktiviti pembalakan haram, masalah ini (banjir ‘termenung’) tidak akan selesai.

“Mereka yang membalak secara haram ini akan ambil batang-batang pokok gelam yang besar manakala ranting dan daun-daun ditinggalkan begitu sahaja menyebabkan air banjir oleh sisa-sisa pokok itu,” katanya. BERNAMA




Banjir ‘termenung’ resahkan penduduk Kampung Tehel



Leave a Reply

Your email address will not be published.