Bersatu bukan Umno

Terkini di My KMU !!!!---->

oleh Hasmi Hashim

Umno mungkin telah berasa beruntung apabila pada saat akhir memberi sokongan sepasukan di peringkat dasar, Belanjawan 2021. Sekali lagi, yang beruntung sebenarnya Perikatan Nasional (PN). Lebih tepat lagi, Bersatu. Bukan Umno.

Sedangkan selamanya Bersatu itu cuma parti serpihan Umno. Itulah hakikat, itulah makfirat. Itulah zahir, itulah batin. Itulah kenyataannya!

Sementara Bersatu adalah parti yang mengkhianati semua yang lain. Parti yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Parti yang hari ini mengusung seorang perdana menteri (PM) yang mahu menghabisi Umno. Bila Umno mati, Bersatu hendak menggantikan Umno. Niat itu jelas.

Memang pelik sekiranya Umno masih mahu mendukung kerajaan tajaan Bersatu-PN. Termasuk dalam Belanjawan 2021—di saat ramai pemimpinnya sendiri galak mengkritik isu morotarium, KWSP, Jasa dan banyak lagi. Yang mempertahan Belanjawan 2021 selingkar orang seperti Shahidan Kasim dan Annuar Musa sahaja.

Alasan konon untuk ingin ‘menyelamatkan negara’, nampaknya masih diputarkan. Alasan yang berkumandang sejak Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, Februari lalu.

Alasan itu hanyalah separuh benar.

Selepas lapan bulan, Umno sewajarnya sudah mampu menilai apakah dengan memberi bunga kepada Bersatu, dibalas dengan bunga juga? Rata-rata pemimpin Umno pun tahu, pengorbanan mereka sebenarnya sia-sia. Bersatu merupakan parti yang tidak boleh dipercayai.

Sepertimana kata Shahrir Samad, ketua Umno Johor Bahru, Bersatu jadi tempat berkumpulnya manusia pengkhianat.

Muhyiddin Yassin pengkhianat kepada Umno. Kemudian mengkhianati mentornya sendiri, Dr Mahathir. Sejurus itu, Muhyiddin juga mengkhianati PH dan Anwar selepas Bersatu mampu menang dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Sekiranya disemak jejak politik Muhyiddin sedari muda, mungkin beliau penuh dengan rekod pengkhianatan dan menikam kawan untuk naik pangkat dan berkuasa. Dari Johor sampai ke Putrajaya.

Lihat sahaja bagaimana Muhyiddin sudah berjanji untuk bersetuju menerima Anwar sebagai PM selepas Dr Mahathir. Dia cabut apabila janji itu perlu ditunaikan. Niat mengkhianati Anwar dan PH terasa memang sudah wujud dan dirancang lama.

Khianat

Tidak cukup dengan Muhyiddin, Bersatu juga jadi sarang pengkhianat-pengkhianat lain. Berbelas ahli parlimen Umno dipetik menyertai Bersatu. Ditambah lagi dengan sembilan geng Azmin Ali yang mengkhianati Anwar, PKR dan PH.

Shahrir meringkaskan, apakah kita boleh mempercayai Bersatu yang penuh dengan cerita khianat untuk kemudian berlaku jujur? Kalau Umno masih berharap begitu, samalah dengan berharap hadirnya kucing bertanduk.

Umno kini mula merasakan beban dan akibatnya apabila memberi nyawa kepada Muhyiddin-Azmin untuk mengambil-alih pemerintahan. Bunga dihulur, racun dibalas.

Pilihan raya negeri (PRN) Sabah adalah ukuran yang jelas. Di sana Umno terang-terang dipermainkan.

Ramai yang kini tahu, tempat yang sudah dipersetujui untuk Umno-BN bertanding, disabotaj. Sedangkan langkah untuk merampas kerajaan Sabah dimulakan oleh Bersatu.

Tetapi Umno turut terkena lumpurnya. Turut dikecam rakyat kerana dilihat bersama untuk merampas sebuah kerajaan ketika wabak Covid-19 masih menjadi ancaman. Gelombang ketiga ini, telah sekali lagi merencatkan kegiatan ekonomi rakyat dan memakan puluhan jiwa lagi.

Selepas angka jangkitan Covid-19 naik mendadak, perampas kuasa cuci tangan. Mereka balik ke Putrajaya, mendiamkan diri dan macam biasa, berlagak suci.

Jelaslah yang untung, tetap Bersatu. Dari sebuah negeri yang mana Umno mengepalainya, kini hilang. Ketua menteri dibolot Bersatu.

Helah dan muslihat Bersatu itu tidak termasuk lantikan menteri kabinet. Umno cuma diberi jawatan-jawatan ‘kacang’, sementara jawatan strategik dirampas Bersatu sehingga parti itu hampir tidak punya “backbenchers” dalam Dewan Rakyat. Hampir kesemua ahli parlimen Bersatu berjawatan dalam kabinet.

Hal ini tidak perlulah diulang-ulang atau dipanjangkan kerana sudah disebut dan dirungutkan oleh ramai orang Umno sendiri.

Setelah terkena jebak, nada kesal mulai kedengaran. Nampak tanda bahawa Umno sedang pelan-pelan membuat pusingan U dengan kembali kepada idea asal, yakni Muafakat Nasional (MN). Namun, situasi semasa tidak semudah dahulu lagi.

Sekelip mata PAS berubah. Sikap setiakawan PAS—seperti yang sejak awal diharapkan oleh Umno—mula terhakis. PAS sudah melihat, dia lebih untung berkasih-sayang dengan Bersatu. Berbanding Umno.

Sampai detik ini, Umno seperti terus mengharap PAS kembali berpaling kepadanya. Seperti asmara lapan bulan lalu; sebelum Langkah Sheraton.

PAS dengan jenama Mercedes

Umno sebenarnya tidak kenal betul siapa PAS? Dalam hal ini, PH jauh lebih lama mengenali PAS. PKR dan DAP bekerjasama dengan PAS sejak 1998. Sejak era allahyarham Fadhil Noor dan Nik Aziz Nik Mat.

PAS hari ini bukan PAS yang dahulu—yang ada nilai kesetiaan dan persahabatan. PAS hari ini PAS di era Hadi Awang. PAS dengan jenama Mercedes, Honda Accord, Alphad dan Vellfire. PAS hari ini adalah PAS yang punya bangunan mencakar langit Lorong Haji Taib.

Idea perpaduan Melayu dengan penyatuan Umno-PAS merupakan mimpi lama. Kalau penyatuan Umno-PAS berlaku pada 1980 atau 90-an, mungkin ia sangat dibanggakan. Waktu itu, pertembungan parti Melayu paling senget memang di antara Umno dengan PAS.

Sekarang tidak lagi. Orang Melayu dan dinamik politik Melayu sudah jauh berubah.

Orang Melayu telah menuju ke ruang politik yang lebih terbuka dan tidak hanya berpaut kepada parti berasaskan kaum. Jiwa Melayu kini ada dalam diri setiap orang Melayu. Bukan kepada parti.

Perubahan corak berfikir orang Melayu sebenarnya adalah tanda kemajuan politik Melayu. Ia juga seiring dengan perkembagaan dunia politik sejagat.

Dua faktor ini, yakni sikap PAS dan perubahan politik Melayu itu sendiri adalah faktor yang tidak menjamin idea Muafakat Nasional (MN) boleh menyelamatkan dan memberi kemenangan semula kepada Umno bila tiba PRU nanti. Umno nampaknya akan dibaham oleh khayalannya sekali lagi—khayalan yang sudah tidak secocok dengan perubahan zaman.

Dalam keadaan kesetiaan PAS berubah, MN akan lebih sukar berfungsi. MN hanya akan dijadikan wadah untuk PAS dan Bersatu merampas kerusi tradisi Umno. Apa yang dimaksudkan “kerusi tradisi” ialah kerusi-kerusi yang sering dimenangi Umno sebelum PRU-14 lalu.

Sekurang-kurangnya Umno akan hilang sekitar 30-40 peratus kerusi tradisinya. Jumlah kerusi yang mungkin dimenangi Umno selepas PRU ke-15 nanti tidak akan mampu menjadikan Umno kembali berkuasa sebagai parti tunjang kepada mana-mana gabungan, sama ada MN mahupun PN.

Umno akan terus melukut di tepi gantang. Dan bukan sekedar itu, usaha halus untuk melemahkan dan membunuh Umno akan lebih rancak. PAS dan Bersatu tidak akan membiarkan Umno hidup lama. Sekuat dahulu.

Sebabnya mudah. Sebab PAS mahu mengambil asas akar umbi yang menyokong Umno; dan Bersatu mahu menggantikan Umno dengan terus mencuri ahli-ahli agar menyertai Bersatu.

Kekalahan kali ini bukan lagi konon kerana fitnah dan persepsi; tapi kerana salah memilih kawan, terperangkap dengan romantismE dan khayalan “perpaduan Melayu”, serta salah mengambil langkah atau strategi.

Sedangkan Umno bukan PAS dari sudut fitrah dan budaya politik. Budaya politik Umno lebih sederhana, sedangkan PAS sangat keras.

Lebih dari itu, Umno juga bukan Bersatu yang punyai sikap khianat dan otak buaya yang tersepit. Bila dilepaskan, menggigit kaki. Belanjawan yang disokong Umno, akan memakan Umno. Malaysiakini

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Daftar PN : BN di hujung tanduk

Leave a Reply