Modal RM150 kini pendapatan ribuan ringgit sebulan

Rantau Panjang: Dengan bermodalkan RM150 dan hanya mempelajari asas solekan melalui media sosial selama dua tahun, Nurizatie Roselan, 26, bangkit menjadi jurumekap dan mampu meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Dia yang sebelum ini hilang pekerjaan, namun tidak membuatkan dia berputus asas sebaliknya gigih mempelajari teknik solekan sebelum memberanikan diri ‘menghias’ wajah bermula dengan rakan sekampung dan kini pelanggannya dari seluruh Kelantan.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam bulan itu berkata pada awalnya dia tidak berminat dengan dunia solekan, namun sebaik menonton video tutorial daripada salah seorang jurusolek terkenal, MUA Bella, Nurizatie terus fokus dan berazam mempelajarinya.

“Hampir setiap hari, selama dua tahun saya mengikuti videonya di laman sosial Facebook (FB) dan mula membeli bahan asas solekan seperti celak mata, pemerah pipi, gincu dan bedak bermula dengan modal RM150.

“Saya bukanlah orang senang, tambahan pula ketika itu saya tiada pekerjaan dan hanya mengharapkan suami, Muhamad Fikri Mohd Kassim, 26, yang bekerja sendiri. Namun, ia tidak menghalang saya sebaliknya terus mempraktikkan solekan sehingga benar-benar yakin untuk mencantikkan orang lain.

“Alhamdulillah, selepas hampir empat tahun menjadi jurusolek, pelanggan saya semakin bertambah, malah saya sendiri beberapa kali mengadakan kelas solekan dengan yuran pendaftaran sekitar RM100 sehingga RM150 seorang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Bakong, di sini, semalam.

Nurizatie, mengakui sebelum ini beberapa kali rasa putus asa untuk mendapatkan pekerjaan, tambahan pula, dia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun atas rezeki dan usaha sendiri dia sampai ke tahap hari ini dan berazam untuk pergi lebih jauh dalam bidang solekan.

Menurutnya, dia mengenakan bayaran sekitar RM50 sehingga RM350 bergantung kepada jenis solekan sama ada untuk perkahwinan atau majlis-majlis tertentu mengikut kepada permintaan pelanggan.

“Sepanjang saya melakukan pekerjaan ini, saya berpegang pada konsep untuk menggembirakan pelanggan. Mereka ada masanya bukan daripada golongan berada, contohnya orang kampung seperti saya yang tidak berkemampuan tetapi mahu tampil cantik di majlis perkahwinan,

“Justeru, saya tidak mengambil caj yang tinggi walaupun harganya kadang-kadang tidak masuk akal kerana terlalu murah, tapi saya jadikan ia sebagai sedekah sambil mencari rezeki. Saya yakin dalam rezeki saya terselit rezeki orang lain, yang penting pelanggan berpuas hati.

Nurizatie yang dikenali dengan hashtag ‘mok ande kapom’ di media sosial miliknya, turut menasihatkan sesiapa yang meminati bidang solekan untuk terus berusaha mempraktikkan teknik terbaik kerana bidang terbabit mampu memberi pendapatan lumayan. HM

Rezeki Datang Tak Disangka-Sangka, Ini 5 Amalan Pembuka Pintu Rezeki Anda Perlu Tahu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker