[VIDEO] Alena Murang dicalonkan untuk dua anugerah di Festival Video Muzik Buenos Aires

Share

Artis kelahiran Sarawak Alena Murang telah dicalonkan bagi dua kategori anugerah di Festival Video Muzik Buenos Aires tahun ini yang akan berlangsung secara maya dari 27 hingga 29 Nov depan.

Pencalonan bagi anugerah Video Antarabangsa Terbaik dan Penggayaan Terbaik membuktikan bakat hebat Alena dalam bidang muzik seperti yang ditampilkan dalam video muziknya berjudul Midang Midang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau turut gembira dengan pencalonan Alena dan pasukannya kerana ia amat bermakna kepada semua rakyat Sarawak apabila kisah mengenai keunikan masyarakat tempatan dikongsi di platform muzik antarabangsa.

“Alena adalah betul apabila mengatakan bahawa sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19, klip video muzik yang menampilkan Dataran Tinggi Kelabit masih berupaya menempatkan diri dalam festival berprestij itu dan pentas global.

“Dengan lebih 29,000 tontonan di YouTube, kita harap video muzik Alena akan terus menjadi gerbang untuk seluruh dunia menyaksikan betapa banyak tarikan yang ditawarkan oleh sektor pelancongan Sarawak dan bakal menjadi antara destinasi yang harus dikunjungi selepas situasi COVID-19 pulih,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Aspek menarik mengenai pencalonan Alena dalam kategori Video Antarabangsa Terbaik ialah antara pesaingnya merupakan penyanyi pop yang pernah merangkul pelbagai anugerah iaitu Madonna serta artis lain dari seluruh dunia.

Video muzik Midang Midang, yang dihasilkan oleh Project Room dan Kanid, telah dilancarkan pada 27 Nov tahun lepas dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta Majlis Bandaraya Miri.

Penggambaran video itu dilakukan di Bario dan Miri.- BERNAMA

Impikan DOLLA ‘Trending’ di YouTube, Twitter

Leave a Reply