Jenazah Hasbullah dikebumi di Gerik · MYKMU.NET

Jenazah Hasbullah dikebumi di Gerik

Share

GERIK: Jenazah Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang, di sini, hari ini.

Adik perempuannya, Fadhilah Osman, 61, berkata urusan pengebumian Allahyarham akan dilakukan awal jika jenazahnya tiba awal.

Katanya, adik dan anak Allahyarham sedang dalam perjalanan ke Hospital Raub untuk menguruskan jenazah abangnya.

“InsyaAllah, mereka sedang dalam perjalanan ke Raub untuk mengurus supaya jenazah dapat dibawa balik malam ini juga, mungkin awal pagi sampai.

“Jenazah mungkin akan di bedah siasat dan kalau boleh biarlah urusan pengebumian dapat diawalkan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hasbullah, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia di Raub, Pahang petang semalam kerana sakit jantung.

Allahyarham yang dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 11 Mei lalu, menyandang kerusi Parlimen Gerik sejak 2004, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.

Dalam PRU lalu, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ibrahim Mohd Hanafiah. BH

MP Gerik, Hasbullah Osman meninggal dunia

Leave a Reply