Sekolah dalam kawasan PKPB tidak sempat laksana percubaan SPM – KPM

Share

Sebanyak 2,350 sekolah telah menghabiskan silibus tingkatan lima namun terdapat sekolah yang tidak dapat melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata 85 peratus atau 2,004 buah sekolah telah melaksanakan peperiksaan percubaan manakala bakinya iaitu 346 sekolah seperti di Sabah dan Selangor masih belum melaksanakannya.

“Sekolah-sekolah (ini) telah habiskan silibus tahun ini cuma tidak dapat laksanakan peperiksaan percubaan kerana berada di kawasan PKPB lebih awal,” katanya dalam taklimat media di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Habibah berkata sekolah-sekolah yang tidak sempat melaksanakan peperiksaan percubaan SPM diminta berbuat demikian apabila sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada 20 Jan 2021.

“Peperiksaan percubaan ini ialah untuk mengukur tahap sebenar pelajar dan hasil dapatan ini akan digunakan oleh guru-guru untuk membantu pelajar,” katanya.

Habibah berkata pihaknya akan menganalisis keputusan peperiksaan percubaan SPM bagi membolehkan kementerian merangka strategi untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar.

“Hasil peperiksaan percubaan SPM, kita lihat apa mata pelajaran yang terkesan dan lihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu murid,” katanya, menambah sesi dialog prestasi akan dilakukan dengan Jabatan Pelajaran negeri penghujung bulan ini

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan peperiksaan SPM 2020 dipinda ke 22 Feb 2021. Jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki SPM 2020 ialah seramai 400,445 pelajar.

Habibah dalam pada itu berkata penjadualan peperiksaan SPM 2020 tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi.

“Kemasukan ke universiti adalah bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan kita telah ambil kira tempoh peperiksaan (SPM) dengan tempoh kemasukan ke universiti,” katanya. BERNAMA

Keburukan melebihi manfaat laksana PKPB skala besar, kata kumpulan perubatan

Leave a Reply