Hilang kerja di awan biru, bekas pramugara tak putus asa niaga ayam bakar

Dahulu senyuman seorang pramugara terukir sewaktu menyambut penumpang pesawat, kini apabila industri penerbangan terjejas kerana wabak Covid-19, manis itu beralih kepada pelanggan yang melanggan makanannya.

Begitu liku-liku Mohd Aizamuddin Zakry Baharom, 33, salah seorang pramugara yang terkesan dengan keputusan syarikat penerbangan memberhentikan kakitangan berikutan realiti sektor penerbangan yang dilihat sukar pulih dalam masa terdekat.

“Sayapnya” patah pada Jun lalu, apabila tersenarai dalam fasa pertama penamatan perkhidmatan, namun dia tekad: hidup mesti diteruskan walau apa situasi sekalipun.

“Persediaan untuk diberhentikan itu memang tidak ada sebab saya sendiri tidak jangka situasi ini tetapi saya ikhtiar.

“Saya anggap hubungan dengan industri penerbangan mungkin sudah berakhir buat sementara waktu,” katanya kepada FMT.

Pada awal Okt, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan syarikat penerbangan tambang rendah itu terpaksa memberhentikan 10% daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya. Awal Jun pula, AirAsia sendiri sudah mengurangkan lebih 250 pekerja.

Malindo Airways Sdn Bhd juga tidak terkecuali, dilaporkan melaksana pemberhentian pekerja melibatkan lebih 2,600 orang sejak Nov daripada 3,200 tenaga kerjanya.

Aizamuddin Zakry Baharom, 33 (kiri) dan Ezarul Emri Zainal Abidin, 36.
Kerajaan masih kekal dengan dasar tidak membuka pintu sempadan kepada mana-mana pihak, kecuali kategori tertentu, berikutan gelombang ke-3 Covid-19.

Walaupun ia kali kedua dia berdepan ujian sebegini, ia tidak memudahkan Aizamuddin menerimanya, yang mula menceburi bidang itu semuda usia 23 tahun.

“Tipulah jika saya katakan tidak tertekan apabila fikirkan masalah kewangan yang akan saya hadapi dan saya tidak sayangkan pekerjaan yang saya sudah ceburi hampir 10 tahun ini. Ia sudah sebati dalam diri saya,” katanya.

Untuk meneruskan hidup, Aizamuddin memanfaatkan pengalamannya berkunjung ke negara orang dan capaian internet ke dalam bidang baharu: makanan bakar.

Dari dapur grillnya di USJ 2, Subang Jaya, bekas pramugara ini menjual ayam bakar, daging bakar, kambing bakar, dan itik bakar.

“Saya sendiri tak pernah terfikir berniaga ayam bakar Thai dan daging bakar Danok, tetapi saya cuba cari apa yang tidak dijual di Malaysia.

“Sebab saya sudah biasa ke luar negara, jadi saya tahu apa makanan yang sedap dan boleh dibawa masuk,” katanya.

Aizamuddin berkata situasinya ketika ini membuatkan ibunya di Pahang, yang berusia 80 tahun, khuatir.

Namun restu orang tua jadi azimat baginya, dan bagaimana dia melayan penumpang kapal terbang, begitu juga kesungguhannya di kaki lima.

“InsyaAllah, mana tahu bisnes ini boleh maju. Emak saya sudah berikan restu, itu yang paling utama,” katanya.

Dia sempat berkongsi cerita sewaktu bertugas sebagai seorang pramugara, seperti ketika membawa pulang rakyat kita yang berada di Rom, Itali ketika wabak melanda.

“Saya dan pasukan saya, termasuk pasukan dari Majlis Keselamatan Negara, kita buat penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Rom selama 13 jam dan setelah tiba, kita terus bawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

“Tidak pernah selama ini memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) bagi tempoh 13 jam dengan membawa penumpang,” katanya.

Aizamuddin juga terkenang rakannya yang hilang bersama pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014.

“Selepas itu, saya sendiri terlibat dengan bantuan dijalankan MAS. Ketika itu saya diberi tanggungjawab untuk sambut keluarga-keluarga mangsa dari seluruh negeri dan negara,” katanya.

Transformasi kehidupan bekas pramugara, Mohd Aizamuddin Zakry Baharom, 33, yang dahulunya segak memakai pakaian seragam syarikat penerbangan, kini cekal mengusahakan perniagaan makanan bakar.
Sementara itu, Ezarul Emri Zainal Abidin, 36, bekas pramugara yang terlibat sama berniaga bersama Aizamuddin berkata, penularan wabak memberi kesan pada isteri dan 2 orang anaknya yang masih kecil.

“Anak saya yang ke-2 baru lahir pada 7 Okt lalu, masih tidak sampai sebulan lagi,” katanya.

“Anak ini kami memang sudah rancang sebelum isu pemberhentian kerja ini berlaku tetapi bila ini yang terjadi siapa yang tidak sedih.”

Isteri yang sentiasa memberi semangat mendorong Ezarul untuk terus mara.

“Memang pada awalnya saya fikir wabak ini tidak lama dan yakin akan ‘terbang’ semula, tetapi akhirnya saya antara kakitangan yang menerima emel dari syarikat untuk diberhentikan,” katanya.

Selepas diberhentikan, Ezarul mencari rezeki sebagai penghantar barang e-panggilan untuk beberapa bulan namun terpaksa meninggalkan pekerjaan tersebut kerana kekangan kewangan yang semakin runcing.

Dia menyahut peluang yang diberi Aizamuddin dan mereka mengumpul modal.

“Saya sendiri membesar dalam keluarga yang menjalankan perniagaan katering. Jadi sudah boleh jangka pasang surut perniagaan,” katanya.

Selain faktor cuaca yang menjadi penentu kepada kehadiran pelanggan, tempoh berniaga yang terhad kerana SOP perintah kawalan pergerakan juga beri kesan.

“Kami hanya boleh berniaga di sini paling cepat 6 petang dan perlu tutup gerai pada 10 malam. Untuk bakar ayam ini bukan tempoh masa yang cepat, ia memerlukan masa yang agak lama. Jadi memang ini dugaan,” katanya.

Walau apapun dugaannya, Ezarul harus bertahan untuk isteri dan anak-anak.

“Saya sudah berkeluarga, kalau saya masih sendiri memang tidak ada masalah. Kini dalam fikiran saya hanyalah anak dan isteri. Saya sudah tidak fikirkan apa-apa lagi, keluarga memang jadi keutamaan,” katanya. FMT

“I Can’t Fly Dah”- Dari Pramugara Ke Terapis Spa, Lelaki Ini Bangkit Selepas Dibuang Kerja

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker