Wajar atau tidak pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP dibenarkan?

Saudara Pengarang,
Saya mengikuti penuh minat saranan, sokongan, bangkangan dan perdebatan isu pengeluaran simpanan dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Saya cenderung kepada pendirian bahawa wang caruman berkenaan wajar disimpan untuk kegunaan bagi menampung kos kehidupan selepas usia 55 atau 60 tahun, selaras dengan prinsip atau objektif penubuhan KWSP juga.

Kasihan jika pada hari tua nanti, andai kata nasib tidak menyebelahi mereka, andai kata caruman dalam Akaun 1 berbaki hanya empat angka, apa akan jadi? Andaian itu tidak mustahil kerana KWSP memaklumkan 71 peratus daripada ahli aktifnya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alizakri Alias, kajian yang dilakukan itu bermakna 71 peratus berkenaan akan hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara. Itu dikira berdasarkan RM50,000 dalam simpanan, belum ditolak jika RM10,000 dikeluarkan?

Malah, lama sebelum pandemik ini melanda, kajian mendapati 64 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun hanya mempunyai simpanan kurang RM50,000, terutama golongan berpendapatan rendah.

Tidak mustahil caruman pekerja bersama sumbangan majikan akan terus berkurangan dalam tempoh krisis Covid-19 ini atau terus terhenti jika majikan mengambil keputusan menutup atau mengecilkan perniagaan mereka kesan wabak ini.

Menurut KWSP juga, bagi pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 menerusi program i-Lestari, kira-kira 2.8 juta pencarum didapati tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk mereka benar-benar mendapat manfaat daripada langkah kerajaan membenarkan pengeluaran itu.

2 cara tingkat aliran tunai KWSP jika pengeluaran Akaun 1 dibenar, kata Najib

Untuk makluman, caruman pekerja disimpan KWSP melalui agihan 70 peratus ke dalam Akaun 1, manakala 30 peratus lagi ke dalam Akaun 2.

Malah, saya terbaca juga kenyataan KWSP mengenai kes pencarum yang hanya mempunyai RM1,000 dalam Akaun 2, bermakna mereka hanya boleh menggunakan caruman daripada akaun itu untuk dua bulan sahaja. Mengambil kira itu, berapa pula jumlah caruman dalam Akaun 1 mereka? Mungkin kurang daripada RM5,000.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga sebelum ini menggesa kerajaan menangguhkan skim pengeluaran KWSP di bawah program i-Lestari dan menggantikannya dengan pakej rangsangan untuk pekerja B40. Hujah mereka kerana golongan yang paling memerlukan simpanan pada usia tua akan paling menerima kesan daripada inisiatif itu.

Jika dibenar pula mengeluarkan caruman daripada Akaun 1 seperti yang dicadangkan ketika ini, bagaimana mereka mahu menjalani kehidupan di hari tua nanti? Saya dapat membayangkan keperitan hidup mereka apabila tiba ketika itu nanti.

Mungkin ada yang sudah bersara nanti terpaksa terus bekerja tanpa mengira berapa kecil pun gaji yang diterima. Mencari duit untuk menampung kehidupan, membeli ubat dan membiayai kos rawatan kesihatan.

Ketika itu mungkin klinik atau hospital kerajaan yang akan dikunjungi. Bayangkan jika terlalu ramai rakyat bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam kerana wang yang ada tidak cukup atau poket langsung kosong, ia mungkin boleh meruntuhkan sistem kesihatan awam kerajaan pula.

Jika pengeluaran RM10,000 dibenarkan, siapa yang boleh menjamin pencarum akan berhemah dalam berbelanja? Siapa boleh memastikan mereka berbelanja hanya untuk perkara yang perlu, menggunakan wang itu sebaik-sebaiknya agar boleh bertahan selama enam bulan atau satu tahun?

Memang rakyat yang dalam kesempitan akan menyokong apa saja cadangan jika ia membabitkan wang ringgit dan kesempatan itu mungkin digunakan sesetengah pemimpin politik, menangguk di air keruh untuk meraih populariti.

Saya tahu, tanggungjawab sebagai kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat tidak semudah membaca A, B, C. Pemimpin kerajaan perlu bertanggungjawab kepada rakyat, bukan berfikiran singkat.

Semua faktor harus diambil kira, semua kesan perlu dimasukkan ke dalam unjuran. Kepentingan rakyat yang wajar dijaga bukan untuk tempoh sebulan dua, tetapi sehingga anak cucu mereka.

Saya teringkat kata-kata pemimpin pembangkang ketika kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 melalui inisiatif i-Lestari, bahawa ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana dibimbangi menjejaskan nilai simpanan tabungan hari tua rakyat negara ini.

Kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu dikeluarkan ketika kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 sahaja, bagaimana kali ini apabila pengeluaran dicadangkan sehingga RM10,000 pula?

Lim Kit Siang kena hentam dengan Najib lagi

Saya juga mahu menyelitkan penjelasan Profesor Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Abd Ghafar Ismail yang dilaporkan berkata, cadangan membenarkan pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 KWSP itu akan menyebabkan akta badan berkanun berkenaan perlu dibuat pindaan.

Ada juga laporan yang saya baca, jika kebenaran itu diberikan, ia boleh memberi tekanan ke atas pasaran bon akibat pencairan bon sehingga nilai RM45.7 bilion yang dikira berdasarkan hasil darab jumlah 4.57 juta pencarum yang diluluskan untuk Skim i-Lestari KWSP dengan pengeluaran RM10,000, dalam masa yang singkat.

Dalam hal ini, saya harap semua pihak tidak terbawa-bawa dengan emosi kerana kerajaan pasti akan melakukan yang terbaik, pasti akan merangka kaedah dan cara untuk membantu rakyat seperti yang sudah terbukti sejak Covid-19 mula menjangkiti.

Pelbagai inisiatif dan insentif sudah dilancarkan, antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPN SME+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin yang menelan belanja sehingga RM55 bilion untuk kumpulan B40 dan M40 serta kumpulan sasar lain.

Saya juga tertarik dengan saranan Abd Ghafar, kerajaan juga boleh merangka kaedah tertentu untuk membantu rakyat terjejas, antaranya mewujudkan dana skim pengangguran dan dana zakat selain simpanan lain yang sedia ada, boleh memperkenalkan kupon makanan, kupon biaya rumah dan kupon utiliti air serta eletrik.

Bagi saya, kerajaan boleh memperkenalkan apa sahaja langkah asalkan dapat membantu rakyat bagi tempoh jangka panjang, bukan dengan membenarkan mereka mengeluarkan sejumlah simpanan yang sepatutnya diguna untuk hari tua dan kemudian habis dibelanjakan begitu sahaja.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker