Semak undang-undang sedia ada, beri kuasa SPR tangguh pilihan raya

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Ab Rashid Ab Rahman berkata 1 peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan perlu apabila berlaku krisis memudaratkan negara.

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan ketika krisis termasuk kesihatan, huru-hara dan bencana, kata Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Pengerusinya Ab Rashid Ab Rahman berkata, 1 peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan perlu apabila berlaku krisis memudaratkan negara.

“ERC juga menyambut baik sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan, sebagaimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah minggu lalu.

“ERC berpandangan beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik, menghakis kebebasan, keadilan dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Terdahulu, Ab Rashid menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof di Parlimen semalam, berhubung kesediaan kerajaan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut Ab Rashid ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah sempurna mengikut undang-undang sedia ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya yang akan diadakan.

“Dalam pilihan raya demokratik setiap calon dan parti wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk berkempen dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka untuk menunaikan tanggungjawab secara adil dan bebas,” katanya.

Katanya, kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan. Bagaimanapun suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pilihan raya.



“Bagaimanapun, tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya. Mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari,” katanya.

Beliau berkata, dalam laporan ERC yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin 27 Ogos lalu, dicadangkan supaya SPR membangunkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan.

“Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti mala petaka alam, rusuhan atau perintah berkurung, seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan wabak penyakit yang sukar diatasi dalam waktu singkat. Susulan laporan diserahkan itu, ERC bersedia untuk membantu kerajaan,” katanya.



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker