Polis cedera, kaki dilenyek mat rempit

Butterworth: Anggota polis cedera ketika menahan remaja lelaki yang cuba melarikan diri dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat Bagan Ajam, 10 malam semalam.

Anggota berusia 32 tahun berkenaan patah ibu jari kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu anggotanya melihat suspek berusia 19 tahun dan dua rakan menunggang motosikal dengan aksi berbahaya.

“Anggota kemudian menghampiri suspek dan mengarahkannya berhenti di stesen minyak berdekatan, malah dia juga sempat memegang baju remaja itu di bahagian kiri.

“Suspek cuba melarikan diri dengan memulas kawalan pendikit minyak yang menyebabkan motosikal itu berpusing dan tayar belakang terkena kaki anggota.

“Jari kaki anggota patah tetapi suspek berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah.

Katanya, remaja itu kini disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker