Larangan berbaju Melayu tak relevan – Muafakat Nasional Selangor

Teguran Yang Dipertua Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dituduh gagal mematuhi peraturan apabila memakai baju kebangsaan pada permulaan sesi sidang DUN hari ini, dibidas gabungan Muafakat Nasional negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Abdul Rahman Bakri, alasan untuk tidak memakai baju kebangsaan itu adalah satu tindakan yang tidak relevan.

“Siapa yang mengurus Negeri Selangor sehingga baju Kebangsaan pun tidak dibenarkan untuk dipakai di Sidang DUN? Tidak sepatutnya Baju Kebangsaan atau Baju Sut Melayu menjadi sejenis pakaian yang dilarang pemakaiannya di Sidang DUN Selangor.

“Tidak wajar juga Baju Melayu hanya boleh dipakai pada hari Jumaat sahaja. Sudah menjadi lumrah, baju kebangsaan melangkaui sempadan bangsa seperti Bahasa Malaysia adalah bahasa Melayu, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat sebagai lambang kebanggaan dan kenegaraan Malaysia,” kata kedua mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Langkah itu kata Syarhan Humaizi dan Abdul Rahman adalah cubaan untuk mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Speaker Dewan dari DAP sengaja mewujudkan suasana tidak harmoni. Isu ini bukan hanya berlegar dalam Dewan Negeri Selangor tetapi kini sudah menjadi tanda tanya besar bagi rakyat Selangor apakah ia benar-benar merupakan ketetapan di Dewan Negeri Selangor?

“Atau hanya sikap prejudis Speaker daripada DAP yang tidak menjaga sensitiviti rakyat?” soal mereka lagi.

Suasana sidang DUN di negeri itu kecoh apabila Suee Lim ketika permulaan sesi sidang menegur tindakan lima ADUN berkenaan dan menjelaskan semua mereka mesti berpakaian kemas ‘lounge suit’ semasa sesi dewan.

Tambah Suee Lim lagi, pemakaian baju kebangsaan iaitu baju Melayu dibenarkan pada hari Jumaat.

Lima ADUN berkenaan adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Zakaria Hanafi (Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang); Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang). MG

Speaker berang Adun BN, PAS berbaju Melayu di DUN Selangor

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker