Tamrin keluar notis tuntutan terhadap Zuraida, Puad Zarkashi berhubung projek runding terus

Tamrin Ghaffar mengeluarkan notis tuntutan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berhubung isu penganugerahan kontrak stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur secara rundingan terus.

Tamrin yang juga anak bekas timbalan perdana menteri, Abdul Ghafar Baba berkata, notis tuntutan itu dihantar menerusi peguamnya, Ram Karpal Singh pada 13 Okt.

Beliau berkata, pada tarikh yang sama, notis tuntutan juga dihantar kepada ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi di kediaman beliau di Putrajaya serta pejabat Umno Bahagian Batu Pahat, Johor.

Puad adalah ketua Umno bahagian itu.

“Notis tuntutan yang sama akan dihantar kepada ‘blogger’ dan beberapa individu terbabit yang memfitnah saya, termasuk Aziz Yassin, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga abang kepada (perdana menteri) Muhyiddin Yassin.

“Saya akan teruskan tindakan undang-undang terhadap sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan saya dan saya bersedia bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Sept, Zuraida berkata, beliau bersedia berdepan saman Tamrin, jika kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa Tamrin, selaku penasihat syarikat Bumi Segar Indah, bertemu menteri kewangan (ketika itu) Lim Guan Eng untuk berbincang dan berunding secara terus bagi projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin pada 26 Nov 2018.

Zuraida mendakwa Guan Eng menasihati Bumi Segar Indah supaya menghantar cadangan formal dan akhirnya memberikan persetujuan berhubung projek itu melalui surat bertarikh 20 Feb 2019.

Bagaimanapun, Tamrin mendakwa projek tersebut dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). FMT

Tamrin Ghaffar hantu raya macam dulu juga, kata Puad

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker