Polis buru dua lelaki naik Perodua Myvi

JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang memburu dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi dipercayai penjenayah yang melarikan diri selepas dikejar anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Bandar Dato’ Onn di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau di sini pagi awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu telah meragut nyawa Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas MPV dinaikinya bergesel dengan kenderaan suspek sebelum terbalik dan dilanggar Perodua Aruz.

Kemalangan itu turut menyebabkan, pemandu MPV, Lans Koperal Mohd. Khairul Musa, 32, cedera parah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum kejadian, kedua-dua anggota dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota telah mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya sebelum mereka bertindak melarikan diri dan anggota MPV telah mengejar suspek.

“Setibanya di Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Tun Teja, kenderaan MPV bergesel dengan kereta suspek sebelum terbalik dan dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz yang dinaiki dua orang awam,”katanya pada sidang akhbar di Jabatan Perubatan Forensik, HSI di sini sebentar tadi.

Ayob Khan berkata, akibat kemalangan itu, Nicholester Dadup yang duduk di sebelah tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap MPV terbabit.

Jelasnya, pemandu MPV pula cedera parah pada kepala dan badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail.

Beliau berkata, polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan kereta yang dinaiki suspek selain yakin akan dapat memberkas suspek dalam masa terdekat.

“Kita yakin mereka (suspek) akan dapat dikesan dalam masa terdekat. Ketika kejadian, anggota telah membuat laporan kepada Pusat Kawalan Gerakan Daerah, nombor pendaftaran kereta suspek semua sudah kita ada,”katanya.

Ayob Khan berkata, jenazah mendiang Nicholester Dadup yang masih bujang itu akan diterbangkan ke Sibu, Sarawak untuk disemadikan di kampung halamannya.-K! ONLINE.

Takziah: Anggota Polis Maut, Rakan Setugas Parah MPV Kejar Suspek Terbalik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker