Apa ada dalam minda rakyat semasa Covid-19?

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali

MUTAKHIR ini, banyak tuduhan liar mendakwa, data-data penting berkaitan Covid-19 dimanipulasi.

Dakwaan tidak berasas sebegini timbul akibat kurangnya kefahaman mengenainya. Ini termasuklah usaha kerajaan mengumpul, berkongsi dan menterjemah data, khususnya babitkan tingkah laku rakyat di musim pandemik ini.

Persoalannya, apa kepentingan data kepada kelangsungan hidup dalam keadaan mencabar sekarang? Sejauh mana ia boleh membantu kerajaan pulihkan ekonomi yang terjejas teruk?
Menjawab persoalan ini, wartawan Mingguan MalaysiaFahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub bersama jurugambar Mohd. Fariz Rusadio, menemu bual dengan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali di Putrajaya, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa fungsi Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)?

PROF. TAN SRI NOOR AZLAN: Seeloknya kita sentuh sedikit sejarah yang mana EAC ini asalnya ditubuhkan sewaktu Krisis Ekonomi Asia 1997-98. Masa itu ia dikenali sebagai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ketika itu ia ditubuhkan untuk menghadapi krisis ekonomi. Boleh lah dikatakan, ia adalah satu pasukan petugas khas yang didedikasikan untuk menangani krisis yang kritikal pada masa itu.

Dalam konteks sekarang pula?
Apabila berlaku peralihan kerajaan pada Mac tempoh hari dan kebetulan kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, keadaan sebenarnya sudah mula menyaksikan kelembapan ekonomi dunia. Ia akibat perang perdagangan Amerika-China, eskalasi Iran-Amerika dan kemudian datang pula Covid. Maka EAC distrukturkan semula kepada sebuah pasukan yang dedikasi.

YANG MISKIN BERTAMBAH MISKIN

Statistik terkini kemiskinan ikut kaum susulan pandemik?
Unjuran kemiskinan ini, tak dibuat secara bulanan. Kemiskinan ini bukan satu pemboleh ubah (variable) yang turun naik begitu sahaja. Sebab itu, kita selalu tengok laporan kemiskinan ia keluar dalam laporan tinjauan pendapatan isi rumah yang banyak orang cakap. Terkini adalah laporan 2019, sebelum itu 2016 tak salah saya. Dari situ baru Jabatan Perangkaan akan profilkan kadar kemiskinan.
Apabila ahli ekonomi nak bercakap tentang kemiskinan, kita akan merujuk kepada angka. Bererti, merujuk soalan kamu, apa angka sekarang semasa pandemik? Kami tiada jawapan spesifik, tetapi wajar dijelaskan di seluruh dunia pun ada kajian dibuat, bahawa apa yang akan berlaku adalah, kumpulan yang sedia miskin, besar kemungkinan akan bertambah miskin. Tapi ada satu kumpulan yang kita panggil vulnerable group atau mudah jejas, ini yang kita kena faham.

Bagaimana pandemik akibatkan mereka mudah terjejas?
Contohnya, saya bekerja di hotel. Disebabkan Covid, pelancong tak boleh masuk. Tiada pelancong, penginapan hotel terjejas. Hotel pun kata, kami tak perlu lagi tukang masak. Itu kita panggil hilang pekerjaan, semua ini kita kesan dengan sangat terperinci.

BERTAMBAHNYA BILANGAN MISKIN TEGAR

Pandemik akan tambahkan golongan miskin tegar?
Betul. Pertama memang akan ada kumpulan khususnya mudah jejas tadi, yang akan tiba-tiba jatuh kepada kumpulan lebih rendah. Jadi secara prinsipnya, krisis sebegini rupa dalam keadaan sekarang, dalam negara, luar negara, seluruh dunia semua hadapi krisis yang sama. Sebab itu memang akan berlaku gelombang kemiskinan, cuma kita harus tanyakan, adakah ia kekal atau sementara?

Jadi, adakah krisis ekonomi ini bersifat kekal, atau sementara sahaja?
Sebab itu lah EAC, dan setiap tindakan kerajaan itu penting. Kalau kita bertindak dengan betul, kita boleh lihat ekonomi dibaik pulih semula. Sebab itu, menangani isu ekonomi dalam krisis yang dibuat EAC ini, amat penting. Saya berani katakan selepas enam bulan, satu yang saya rasa bersyukur adalah kita lihat ekonomi sedang berkembang pulih semula. Maksudnya sudah mula ada tanda pemulihan dan ini petanda bagus. Bererti orang yang terjejas itu, sudah boleh bangkit semula.

DATA TAK DIURUS DENGAN BAIK

Apa bukti ekonomi mula pulih? Ada indikator atau data yang boleh dikongsi?
Cuba ambil contoh perhotelan, masa krisis kadar penginapan merosot hingga lapan peratus. Ini teruk, hotel kosong, tapi kemudian kalau kita lihat graf, ia naik semula, sehingga 41 peratus. Ini semasa pandemik yang terkini. Namun dalam graf ini, bila datang serangan pandemik yang baru, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, graf turun semula. Itu yang kita risau. Secara amnya di sini, kita pantau perkembangan ekonomi secara harian. Saya tahu berapa banyak kereta atas lebuh raya. Kami memiliki data berfrekuensi tinggi. Di sini juga kita dapati ada isu menarik, bahawa di Malaysia sebenarnya data tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Apa kaitan pengurusan data dengan usaha baik pulih ekonomi di musim pandemik?
Contohnya, di awal Mac, April, fokus saya adalah untuk dapatkan data. Kita tak mahu data laporan ekonomi, tapi kita perlukan data aktiviti yang menghasilkan ekonomi. Contohnya, ini yang saya tunjuk ini (menunjukkan kertas laporan aktiviti ekonomi), adalah data yang bagi saya, mahal ya. Ia mengenai berapa banyak kenderaan atas lebuh raya secara harian.
Kalau laporan tahunan, kita hanya boleh dapat setahun sekali sahaja, sedangkan masa krisis, kita perlukan data harian. Jadi saya hubungi Lembaga Lebuhraya, saya kata kamu saya tengok masa bulan puasa, masa perayaan, kamu macam boleh tahu berapa banyak kereta atas lebuh raya. Jadi saya tanya, sudah pasti kamu ada data itu. Kami sama-sama analisis, akhirnya kami dapat anggaran agak realistik. Contohnya kita tengok graf ini (menunjukkan kertas laporan aktiviti ekonomi), bilangan kereta atas lebuh raya pada awalnya jatuh, namun kemudian naik semula. Ini masa bulan Mac, April, semasa PKP yang teruk itu. Kemudian naik semula, dan sekarang turun semula grafnya.

KERAJAAN SPY ON US?

Jadi apa rumusan yang boleh dibuat melalui data-data ini?
Pertama sekali, data ekonomi ini, haruslah kita jelas aktiviti ekonomi terhasil melalui tingkah laku manusia. Bererti kita cuba memerhati, fokus kepada persoalan: “Apa ada dalam minda masyarakat semasa pandemik?”
Boleh huraikan lebih lanjut?
Contohnya, kenapa saya nak tengok bilangan kereta atas lebuh raya? Sebab bila kereta bergerak, ia bukan bergerak kosong. Sebaliknya ada orang dalam itu. Paling tidak, dia kena isi minyak. Kedua kena minum, makan. Dan berjalan atas lebuh raya, perjalanan yang jauh. Jadi ada kemungkinan mereka pergi melancong. Jadi kena menginap. Ini bererti, semua ini boleh diterjemahkan sebagai aktiviti ekonomi.

Bagaimana boleh dapat data dan maklumat yang kompleks sebegitu?
Sekarang ada teknologi. Setiap telefon kita ini bergerak. Bila ia bergerak, kita boleh tahu kamu dekat mana.

Adakah kerajaan spy on us?
Bukanlah bermakna kita spy on you, tidak. Google, ia boleh menjejaki semua pergerakan ini. Ia ada buat laporan dipanggil Google Covid Mobility. Kami boleh tahu setiap negeri, mana yang paling banyak orang pergi ke tempat shopping. Berapa banyak orang pergi taman permainan. Berapa banyak orang duduk di rumah. Berapa banyak yang pergi bekerja.

Adakah kerajaan berkolaborasi dengan pihak ketiga, seperti Google misalnya untuk dapatkan data rumit sebegini?
Tidak, ini adalah data awam. Biasanya kita ini, duduk atas data yang banyak tapi bila kita tidak tahu menilai data itu, kita sebenarnya tidak menggunakannya dengan betul. Contohnya, saya boleh tunjukkan sedikit data kepada kamu. Dan untuk pengetahuan, dokumen dan fail-fail ini (menunjukkan fail) pergi kepada semua menteri, setiap hari. Duta-duta juga semua dapat. Ini adalah laporan perkembangan ekonomi harian kita.
Contohnya, kami ada data Covid setiap negeri. Pattern, macam mana keadaan ekonomi, aktiviti dan sebagainya. Contohnya, kita ambil data beli-belah dan rekreasi ya, maksudnya tempat beli-belah. Data ini beritahu, membandingkan hari ini (28 Oktober) dengan Januari 2020, iaitu sebelum Covid. Sebelum Covid, keadaan normal lah.

Bila keadaan paling teruk, dan bagaimana senario sektor itu sekarang?
Masa paling teruk, sekitar April tempoh hari. Graf jatuh sehingga 80 peratus di bawah garisan normal. Garis normal ini maksudnya keadaan seperti sebelum Covid lah. Kemudian kita mula buka ekonomi, akhirnya melalui fasa pemulihan, sekarang ini naik 16 hingga 18 peratus di atas garis normal. Tapi sekarang pada Oktober, PKP semula, maka graf turun ke tahap 34 peratus di bawah garis normal. Ini data paling terkini, 34 peratus di bawah garisan normal. Bererti, ini adalah data harian. Jadi kami boleh lihat trend melalui data.

Ada contoh sektor lain?
Contohnya kami ada data, berapa ramai orang daftar kenderaan baru. Ini pun menarik datanya. Sebelum itu, macam mana kami nak dapatkan data ini? Saya hubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Semua kenderaan di Malaysia, mesti daftar JPJ. Dan mereka beri kerjasama yang baik, berkongsi data. Kita tengok, ramai daftar kereta baharu sekarang. 427,910 sehingga 16 Oktober. Kamu boleh petik beberapa angka dalam laporan data ini, tiada masalah.

Kalau habis musim pandemik, adakah kerajaan akan tetap ambil pusing hal-hal data ini?
Ini bukan kami sahaja, sebenarnya krisis ini, ia juga mengajar kita sesuatu. Contohnya adakah kita ada kaedah pengumpulan, perkongsian dan penterjemahan data yang sistematik. Data kita bersepah-sepah. Agensi-agensi kumpul data, untuk tujuan mereka. Contohnya JPJ nak pastikan semua kereta berdaftar. JPJ tak nampak pembelian kereta baharu, adalah petanda bahawa wujudnya aktiviti ekonomi.

Boleh ulas lanjut?
Kami nampak yang itu. Tapi untuk dapatkan akses kepadanya, JPJ yang ada data itu. Namun ada kala, sesetengah agensi kata, “oh data ini sulit dan rahsia”. Contohnya imigresen, bukankah setiap orang yang masuk ke dalam negara, mesti melalui imigresen? Mesti masuk dalam sistem, jadi kenapa kami kena tunggu sampai tiga bulan baru dapat data itu? Sepatutnya hari ini, petang ini kami dah tahu, sebab dalam sistem sudah ada. Jadi isunya, cara kita mengumpul, cara berkongsi antara institusi dan kementerian.

DATA SEBAGAI KOMODITI

Adakah perkongsian data antara agensi sekarang tak cukup bagus? Sanggupkah mereka kongsi data-data tertentu yang sulit?
Persoalan yang tepat, bukan sanggup atau tidak. Sebaliknya, kita bermula daripada undang-undang yang ketat. Perkongsian data itu tidak mudah. Telus, tapi tak mudah. Kena dapat kebenaran itu dan ini, ada kala selepas proses panjang pun tetap tak boleh berkongsi. Jadi satu daripada kertas EAC, sekarang Jabatan Perangkaan sedang buat satu kertas untuk kerajaan pertimbangkan supaya kita dapat perkasakan. Ini kita belajar daripada krisis.

Jadi, data-data sebegini memang membantu baik pulih ekonomi?
Ya. Untuk kami dapatkan data-data ini, memang struggle. Tapi bila dah dapat, ia sangat berguna. Orang kata, “eh nasib baik ada data ini, mana dapat?” Saya kata, data itu ada, tapi kita tak keep track. Ini yang kita kena faham, dalam era revolusi industri keempat, data adalah ‘minyak’ yang berharga. Negara, atau mana-mana institusi yang dapat mengumpul, berkongsi dan optimakan penggunaan data, biasanya akan berjaya dan sangat kaya lah.

INDUSTRI YANG AKAN RANCAK PASCA COVID

Industri apa yang akan rancak pasca Covid ini?
Saya beri dua contoh. Pertama ialah, kami tahu ekonomi selepas ini akan berubah menjadi digital secara sangat intensif. Pendigilitasi ekonomi, sebab itu kertas mengenai perkara ini sudah dua kali masuk EAC, dan Kabinet pun ada luluskan satu kertas, mewujudkan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat.

Ada sektor lain akan berkembang?
Kedua yang kita lihat, kita tengok ya, bila nak digitalkan ekonomi, semua orang cakap tentang e-commerce. Tapi bila nak buat e-commerce, kamu di Kuala Lumpur dan nak jual barang, orang pesan secara online, apa yang berkait dengan industri ini? Sudah tentu industri logistik. Sebab itu kita tengok sekarang, macam cendawan tumbuh syarikat-syarikat logistik yang sokong budaya e-commerce ini.

Adakah bermaksud, sektor konvensional akan terhapus terus?
Ia bukanlah tentang sektor apa, sebaliknya tentang bagaimana kita operasikan sektor itu. Sektor yang konvensional, misalnya pertanian tetap akan ada. Sektor pembinaan, tetap akan ada. Sebenarnya, semua sektor tetap akan ada. Namun persoalannya, bagaimana ia dioperasikan?

Era digital pascapandemik

Bagaimana penyerapan budaya digital baru pasca pandemik ini?
Ini termasuk bergerak ke arah digital, serta penggunaan teknologi yang tinggi. Contohnya kalau dulu saya nak buat bangunan, saya perlu seribu pekerja asing. Hari ini, nak bawa pekerja asing susah, sebab sempadan ditutup. Jadi, bolehkah saya bawa masuk teknologi untuk tujuan pembinaan bangunan? Kamu pernah tengok kan, di China mereka buat hospital hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja. Tahukah kita ada syarikat dari belah-belah Nordic, mereka buat rumah di Malaysia. Mereka eksport rumah ke Malaysia. Sebab mereka fabricate, rumahnya macam perabot Ikea, pasang siap. Kita pula masih perlukan orang duduk pasang batu-bata lagi. Bererti kita akan lihat sektor pembinaan berubah.

Ada contoh lain?
Pertanian pun begitu. Dulu nak orang, nak pekerja, sekarang boleh siram dengan drone sahaja. Boleh pakai sensor sahaja. Dulu kita ke sawah, kita tengok orang letak orang-orang nak takutkan burung, hari ini boleh guna sensor sahaja. Boleh pakai alat getaran frekuensi.

ORANG MAKAN LEMANG SAMPAI BILA-BILA

Jadi bagaimana rakyat Malaysia perlu persiapkan diri hadapi revolusi ekonomi ini?
Jangan risau tentang sektor apa (yang terkesan), kerana yang berubah ialah how you accomodate the niche in that sector. Jangan risau, orang akan makan lemang juga sampai bila-bila. Tapi mungkin citarasa berubah.
Bererti jika kita mahu bertahan, kita kena pastikan organisasi kita dan pemikiran kita fleksibel, cepat berubah, Itu yang tiada pada, sorry to say, Malaysia. – MINGGUAN MALAYSIA

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker