Buat malu nama negara

Share

Kuala Lumpur: “Setiap kali kes penderaan tular di media sosial, rakyat Malaysia dikecam warganet antarabangsa dan dilabelkan sebagai tidak bertamadun.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan berkata, situasi itu pastinya memalukan Malaysia apabila kes kekejaman terhadap binatang ini menjadi topik bualan oleh masyarakat luar.

Menurutnya, dianggarkan hampir 50 kes kekejaman terhadap haiwan dilaporkan kepada pihaknya sejak Mac lalu.

“Antaranya adalah kes membuang kucing dan anjing, memelihara haiwan tanpa keperluan asas mencukupi, haiwan dibiarkan kebuluran, malah ada juga dipukul, dipotong dan diracun.

“Malangnya 50 peratus kes ini tidak mempunyai bukti mencukupi untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, seharusnya kes haiwan jalanan dizalimi tidak berlaku secara berleluasa.

“Sewajarnya masyarakat Malaysia menyayangi haiwan peliharaan dan jalanan.

“Bagi penggemar haiwan peliharaan, mereka tertakluk kepada beberapa keperluan utama iaitu persekitaran dan diet makanan sesuai, memastikan haiwan kelakuan semula jadi, ditempatkan bersama atau berasingan dan dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan atau penyakit,” katanya.

Justeru, katanya, pendidikan berterusan serta kempen kesedaran mengenai perlindungan kebajikan haiwan perlu dipertingkatkan pihak berkaitan berikutan Malaysia bukan tempat tinggal pendera haiwan.

“Akta sedia ada juga mendidik rakyat mempunyai sikap bertanggungjawab dengan memastikan haiwan peliharaan atau terbiar mempunyai hak untuk hidup serta dilindungi daripada sebarang penderaan.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan jika individu gagal menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan haiwannya, maka haiwan itu akan diambil dan pemiliknya tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan lain untuk tujuan jagaan selama setahun.

“Tanggungjawab memelihara kucing, anjing, arnab atau haiwan ternakan lain, termasuk lembu, kambing adalah besar. Pemilik bukan sahaja memastikan makan dan minum dijaga rapi, tetapi wajib mengambil berat soal kesihatan dan ruang persekitaran habitat semula jadi,” katanya.

Menurutnya, kekejaman haiwan mencakupi pelbagai tingkah laku kejam termasuklah meninggalkan haiwan peliharaan tanpa perhatian sepanjang percutian panjang, merantai haiwan peliharaan sepanjang hayat tanpa sebarang peluang bagi haiwan itu untuk membebaskan diri, menyimbah haiwan dengan air panas, mengabaikannya apabila haiwan itu menjadi buta dan berpenyakit, atau luka akibat dipukul.

Bukan hanya haiwan yang menjadi teman seperti anjing dan kucing sering didera waima hamster, guinea pig, arnab, reptilia dan haiwan peliharaan eksotik yang kebanyakannya dikurung juga sering diabaikan.

“Pihak sukarelawan SAFM giat mengumpul dana bertujuan membeli makanan dan ubat-ubatan khusus untuk haiwan-haiwan jalanan selain menyelamatkan haiwan yang dianiaya selain menampung perbelanjaan pusat perlindungan untuk haiwan malang,” katanya.

caption

Pix 1; AHLI Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) turun padang bagi menjaga kebajikan haiwan jalanan.

Niat jemur bayi elak ‘demam kuning’, sudahnya tangan putus

Leave a Reply