Veteran sokong keputusan MKT UMNO · MYKMU.NET

Veteran sokong keputusan MKT UMNO

Share

SHAH ALAM – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU) selepas pandemik koronavirus (Covid-19) terkawal dilihat jalan penyelesaian terbaik untuk mengembalikan mandat rakyat.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, pihaknya menyokong keputusan itu yang mengutamakan agenda kebajikan rakyat.

“Beberapa keputusan yang dibuat pada mesyuarat malam tadi menampakkan UMNO sebuah parti yang akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

“UMNO juga meletakkan agenda kebajikan rakyat didahulukan dengan meminta menteri dari UMNO terus berkhidmat memfokuskan rakyat dan akan memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap UMNO mengambil tindakan tegas kepada pihak yang membuat tuduhan dan memfitnah dengan niat mahu memecah-belah ahli parti serta rakyat.

MKT UMNO tentukan keputusan parti sertai MN, Kerajaan PN – Mahdzir

“Kita harap rakyat tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang sentiasa membangkitkan isu politik serta memburukkan pemimpin dan UMNO.

“Sama-sama kita mendoakan perpaduan yang kukuh dapat diwujudkan melalui Muafakat Nasional dan masalah Covid-19 dapat diselesaikan segera,” katanya.

Malam tadi, MKT UMNO memutuskan semua anggota Kabinet yang mewakili parti itu akan terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan maruah parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan fungsi UMNO sebagai sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.

Beliau berkata, MKT UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

‘Muktamadkan dalam Perhimpunan Agung’

Leave a Reply