Mangsa rentung Toyota Harrier parah dihiris

Polis mendapati mangsa yang rentung dalam kebakaran Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) di kawasan belukar berhampiran stesen Express Rail Link (ERL) Salak Tinggi, dekat sini mengalami kecederaan parah daripada luka-luka hirisan pada tubuh badan kerana serangan objek tajam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, punca kematian adalah disebabkan kesan serangan dan bukan berpunca daripada kebakaran.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dapati si mati mengalami kecederaan luka-luka hirisan yang parah di tubuh badan kerana serangan objek tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, kini polis dalam proses mendapatkan DNA ahli keluarga mangsa yang rentung bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Setakat ini dua orang suspek dipercayai kawan rapat mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan.

Fadzil turut mengesahkan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 5 November ini untuk kedua-dua suspek telah diperolehi polis daripada Mahkamah Majistret Sepang.

Katanya, kedua-dua suspek lelaki bangsa India itu berusia 42 dan 37 tahun kini direman untuk meneruskan siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek bekerja sebagai kontraktor manakala si mati juga merupakan seorang jurutera di tapak (pembinaan),” katanya.

Menurut Fadzil, berdasarkan pendaftaran kenderaan yang terbakar itu, pemiliknya adalah seorang lelaki India berumur 42 tahun dan bekerja sebagai juruteraa di tapak pembinaan

Pagi tadi, MalaysiaGazette melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan bahawa seorang suspek berusia 43 tahun itu merupakan rakan karib mangsa dan telah ditahan oleh JSJ Sepang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 4 petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi Rabu lalu, katanya, saksi kejadian yang tinggal di asrama di Jalan Airpot City 2 telah turun ke bawah dan nampak api marak dari dalam hutan yang terletak di sebelah asrama lalu menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

Siasatan pegawai penyiasat di tempat kejadian mendapati mayat telah rentung 90 peratus dan polis menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter daripada kereta itu.

Mayat mangsa yang ditemui rentung 90 peratus di bahagian tempat duduk pemandu dan diserahkan kepada polis yang kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat menyebabkan polis mengklasfikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan memulakan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, menurut Fadzil, polis juga menyiasat sebarang kemungkinan motif pembunuhan mempunyai unsur iri hati untuk mendapatkan projek memandangkan kedua-dua suspek bekerja sebagai kontraktor. MG

Warga emas strok rentung dalam kebakaran di Kepong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker