Mahathir ‘muak’ kenyataannya disalah erti

Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau “muak” dengan perbuatan segelintir pihak yang menyalah erti dan menerbitkan kenyataannya di luar konteks mengenai gesaan supaya orang Islam memboikot produk Perancis.

Dalam satu kenyataan, Mahathir yang mendapat kritikan daripada pengguna media sosial di seluruh dunia dan juga diplomat di Malaysia berkata, pengkritiknya hanya menyorot satu bahagian daripada kenyataannya untuk menunjukkan bahawa beliau mempromosikan pembunuhan orang Perancis.

Ahli Parlimen Langkawi itu merujuk sebahagian perenggan dalam catatan di blognya yang berbunyi: “umat Islam berhak marah dan membunuh berjuta-juta orang Perancis atas pembunuhan besar-besaran sebelum ini”.

“(Oleh) kerana penyampaian di luar konteks oleh pihak yang mengambil tulisan saya, laporan dibuat terhadap saya dan saya dituduh mempromosikan kekerasan,” kata Mahathir hari ini.

Beliau berkata, Facebook dan Twitter sudah meminta pengurus akaunnya membuang catatan berkenaan.

“Walaupun berpeluang untuk menjelaskan konteks sebenar hantaran berkenaan, ia tetap dipadam, katanya.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan dengan keputusan Facebook dan Twitter untuk memadam catatan saya.

“Pada saya, mereka adalah penyedia kebebasan bersuara dan sekurang-kurangnya mereka harus membenarkan saya menjelaskan dan mempertahankan kedudukan saya,” katanya.

Mahathir dikecam berikutan kenyataannya untuk memboikot produk Perancis sebagai reaksi terhadap kenyataan presiden negara itu Emmanuel Macron mengenai Islam.

Dalam satu siri tweet, mengulangi apa yang ditulis di blognya, Mahathir berkata, Macron “sangat primitif” kerana menyalahkan Islam dan umatnya atas kematian seorang guru di Perancis yang dipancung baru-baru ini kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad di kelas.

Mahathir menegaskan membunuh bukan ajaran Islam.

Katanya, Perancis pernah membunuh berjuta-juta orang, kebanyakannya umat Islam sebelum ini dan jika logik “bunuh balas” diguna pakai, maka orang Islam berhak membunuh orang Perancis. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker