Kanak-kanak 2 tahun pesakit Covid-19 termuda di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak berkata seorang kanak-kanak berumur 2 tahun antara 10 kes positif yang dilaporkan di negeri ini.

Pengerusi Douglas Uggah Embas berkata, semua 10 kes itu terdiri daripada 8 kes jangkitan tempatan dan 2 kes import, yang dilaporkan di Kuching. Kes import berkenaan melibatkan 2 wanita Indonesia yang memasuki negeri bagi tujuan pelancongan perubatan.

Beliau berkata bayi itu berkait dengan Kluster Green Hill dan merupakan pesakit Covid-19 yang paling muda di Sarawak.

“Kami melaporkan 4 kes yang berkait dengan Kluster Green Hill, pesakit berumur antara 2 hingga 58 tahun. Kanak-kanak berumur 2 tahun itu merupakan pesakit Covid-19 yang paling muda di Sarawak setakat ini.

“Kami menamakan kluster berkenaan sempena sebatang jalan di bandar ini, yang mana kebanyakan kes (daripada kluster berkenaan) melawat ke situ baru-baru ini,” kata beliau pada sidang media.

Beliau berkata terdapat 29 kes positif berkait dengan kluster berkenaan, termasuk kes indeks iaitu seorang ahli perniagaan yang diuji positif di sebuah hospital swasta pada 26 Okt.

Uggah, yang juga timbalan ketua menteri berkata, 3 kes lain berkait dengan Kluster Baki yang melibatkan individu berumur 12 hingga 20 tahun.

“Seorang wanita tempatan yang bekerja di sebuah kedai kecantikan di pusat komersial Galacity juga diuji positif tetapi siasatan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti sumber jangkitan,” katanya.

Beliau menambah jawatankuasa itu memutuskan semua pusat tuisyen tadika dan taska di Kuching akan ditutup mulai esok sehingga 13 Nov.

Semua institusi pendidikan, sekolah rendah dan menengah, sekolah swasta yang berdaftar bawah Kementerian Pendidikan juga tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh yang sama.

Setakat ini, Sarawak melaporkan sejumlah 856 kes Covid-19, termasuk 19 kematian. FMT

Covid-19: Empat kematian, 73 anggota KKM turut dijangkiti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker