Cabaran berbeza Dolla

KEMUNCULAN kumpulan baharu, Dolla dalam industri muzik tanah air berjaya membuka mata banyak pihak sekali gus menambah warna dalam bidang hiburan tempatan.

Penampilan serta konsep muzik yang dibawa sejak hadir dengan single pertama berjudul Dolla Make You Wanna kini menjadi alternatif buat peminat yang dahagakan genre muzik berbeza daripada kebiasaan.

Diberi jolokan sebagai ‘Blackpink Malaysia’, Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby juga berdepan cabaran krisis pandemik Covid-19 dalam memperjuangkan karya mereka.

“Mungkin cabaran yang kami hadapi berbeza daripada artis lain, namun, ini tentunya membuatkan kami akan sentiasa mengingati proses perjuangan kami dalam mengangkat nama dan karya kami,” kata Syasya.

Membuka sesi temu bual, Dolla berkongsi mengenai perjalanan karier mereka yang baru sahaja bermula pada tahun ini dan terpaksa ‘bergelut’ dengan musuh yang tidak dapat dilihat, Covid-19.

“Cabaran kami adalah, apabila lancarkan lagu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Pada ketika itu, kami lancarkan single pertama kami, Dolla Make You Wanna tak sangka, ramai juga yang memberi sokongan dan dari situ kami mula dikenali.

“Kini, kami lancarkan single kedua berjudul Impikan dan sekali lagi, kami berdepan situasi sama apabila kerajaan umumkan PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Seorang lagi anggota Dolla, Sabronzo berkata, mereka juga tidak pernah merasai pengalaman menjadi artis seperti mana yang dilalui artis lain.

“Mungkin disebabkan kami diperkenalkan ketika negara kita bergelut dengan Covid-19, jadi, kami tak berpeluang melalui proses seperti sesi temu ramah bersama media dan sebagainya. Kalau ada pun, ia menerusi panggilan telefon atau dalam talian saja.

“Bagaimanapun, ada juga peminat dan pengikut kami yang mula kenal contohnya, apabila berada di luar, ada yang tahu bahawa kami adalah anggota kumpulan Dolla,” katanya.

Berkongsi mengenai single baharu mereka, ia dihasilkan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

“Impikan dihasilkan dalam dua bahasa dan untuk bahasa Inggeris, judulnya adalah Watch Me Glow. Ini satu penghargaan buat kami apabila Universal Music Malaysia memberi peluang kepada kami untuk menghasilkan single dwibahasa ini,” kata Sabronzo.

Namun begitu, bagi menghasilkan single dwibahasa bukanlah satu tugas yang mudah. Bagi Tabby, cabaran besar adalah untuk menyanyikan bait lagu dalam bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu saya mungkin tidak sefasih orang lain, tetapi saya anggap ini adalah cabaran untuk saya apabila menyanyikan lagu Impikan. Namun, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dihasilkan oleh komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson untuk versi bahasa Inggeris, dan Luca Sickta serta YonnyBoii untuk versi bahasa Melayu, Dolla juga berbesar hati dapat bekerja dengan nama-nama besar itu.

“Sudah pastinya kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu hits K-Pop seperti All Night nyanyian Girls’ Generation.

“Dengan peluang ini ia sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa,” kata Sabronzo.

Selain Girls’ Generation, kesemua komposer dan penerbit itu juga pernah menghasilkan lagu untuk beberapa nama besar lain antaranya, LOONA,

Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon.

Bagi seorang lagi anggota Dolla, Angel berkongsi mengenai jalan cerita dan mesej yang disampaikan menerusi lagu baharu ini.

“Lagu ini cuba membangkitkan semangat mereka yang belum mencapai apa yang mereka impikan dalam hidup mereka. Jangan mengeluh dan mudah menyerah kalah.

“Dengan usaha yang berterusan, apa yang diimpikan pasti boleh dikecapi suatu hari nanti. Lagu ini kami dedikasikan khas buat peminat kami yang percaya dengan bakat dan kemampuan kami untuk terbang lebih jauh dalam persada seni,” katanya.

Menutup sesi temu bual, Sabronzo mewakili kumpulannya berharap agar karya mereka akan terus diterima dengan baik oleh peminat.

“Kami berharap lagu ini bukan saja mendapat sambutan positif daripada pendengar dan mengukuhkan lagi jenama dan muzik di Malaysia, malah kami turut menaruh impian lagu ini membuka ruang dan peluang untuk kami menempa nama di luar negara, katanya.

Video muzik Impikan dan Watch Me Glow dilancarkan hari ini di YouTube bermula jam 9 malam dan boleh juga didapati ke pelbagai platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. HM

Dolla diserang kerana feminisme

Digelar BLACKPINK Malaysia, Dolla dedah sejarah penubuhan kumpulan (video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker