Muhyiddin ajak umat Islam bermunajat hadapi Covid-19 · MYKMU.NET

Muhyiddin ajak umat Islam bermunajat hadapi Covid-19

Share
Gambar Hiasan

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh umat Islam untuk terus bermunajat supaya diberi kekuatan menghadapi ujian wabak koronavirus (Covid-19), usaha memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh perpaduan rakyat.

Beliau berkata, ujian berkenaan seharusnya mengukuhkan iltizam semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan manusia sebagai umatnya.

“Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini.

Menghayati peribadi Nabi Muhammad SAW

“Pemilihan tema sambutan pada tahun ini ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ untuk menggambarkan pentingnya sifat rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

“Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia,” katanya menerusi Perutusan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau berharap usaha berkenaan mendapat keredaan ALLAH SWT serta digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan menerima syafaat Rasulullah SAW.

Dalam pada itu katanya, pada tahun ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menggerakkan kempen ‘Malaysia Berselawat’ membabitkan rakyat Malaysia dan dianjurkan untuk merakam selawat dalam bentuk video pendek.

“Video itu dikongsi di media sosial dengan tanda pagar #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

“Ini bukan sahaja inisiatif yang sangat baik dan sesuai dengan amalan normal baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian bahkan yang lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat,” katanya.

https://mykmu.neat/2020/10/29/agong-permaisuri-zahir-ucapan-maulidur-rasul/

Leave a Reply