Lima diberkas curi empat tan besi pencawang TNB

JOHOR BAHRU: Lima lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki mencuri kira-kira empat tan besi menara pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang sedang dalam pembinaan di Kampung Awat, Batu Anam, dekat Segamat, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata TNB membuat laporan polis setelah mendapati besi menara pencawang tersebut hilang di kampung berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menahan dua suspek berusia 34 dan 35 tahun di Tampin, Negeri Sembilan pada hari yang sama.

“Menurut pekerja, besi tersebut ditinggalkan waktu petang Sabtu lalu, namun selepas kembali semula dua hari kemudian, mereka mendapati besi berkenaan telah tiada.

“Hasil siasatan daripada penahanan dua suspek ini, kami berjaya merampas sebuah lori tiga tan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut besi kerangka pencawang yang dianggarkan seberat 3,510 kilogram itu serta sekeping resit jual beli,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Menurutnya, susulan tangkapan kedua-dua suspek itu, pihaknya turut berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia 37, 29 dan 62 tahun di sekitar pusat pengumpulan barang-barang terpakai di daerah Segamat semalam, selepas dipercayai turut terbabit dalam kes berkenaan.

Raub berkata kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Lelaki diberkas menyamar anggota polis dan mengamuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker