Johor akan tubuh Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah

Share

Johor Bahru: Johor menjadi negeri pertama di negara ini yang akan mewujudkan Jabatan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah bertujuan memperkukuhkan fahaman itu kepada umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata, inisiatif di bawah seliaan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijangka diperkenalkan awal tahun depan.

Katanya, penubuhan itu juga sebagai benteng bagi memerangi fahaman yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah misalannya fahaman Hizbut Tahrir.

“Individu ini terdiri daripada sukarelawan berusia 18 hingga 35 tahun dan pada peringkat awal, 200 orang akan diambil untuk diberikan latihan, dakwah dan sebagainya.

“Di samping menjadi penceramah khusus bagi menerangkan fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka juga boleh membantu dari segi kerja kemasyarakatan dan kesukarelawan di mana-mana peringkat di Johor ini.

“Permohonan itu secara terbuka dan kita akan pilih. Mereka akan dipanggil temu duga. Namun, asas agama perlu ada sekurang-kurangnya di peringkat Darjah Khas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Kira-kira 500 umat Islam hadir pada majlis yang disambut secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bermula 7.30 pagi, majlis diserikan dengan bacaan berzanji, selawat Nariyah, bacaan al-Quran dan rawi, diikuti syarahan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAINJ, Mohd Taufik Shamsudin.

Tosrin berkata, pihaknya menerima 372 permohonan seluruh Johor bagi menganjurkan sambutan Maulidur Rasul, bagaimanapun, dua daerah iaitu Tangkak dan Kota Tinggi tidak dibenarkan menganjurkan sambutan berkenaan atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah menyiapkan surat untuk dihantar kepada Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur, Isnin depan, sebagai tanda bantahan kerajaan dan umat Islam di Johor susulan tindakan akhbar mingguan Satira Perancis, Charlie Hebdo yang mahu menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW.

“Bagi pihak kerajaan Johor, kita memang membantah sekeras-kerasnya. Mana-mana pihak yang mahu membuat laporan polis memang digalakkan secara terbuka.

“Pada masa sama, umat Islam diharapkan supaya bersabar, tidak mengambil tindakan terburu-buru di luar batasan jangkauan kita sebagai umat Islam kerana batas perlu dikawal jangan sampai menimbulkan emosi mahupun sangkaan buruk,” katanya.-HM

Syiah tiada hak sebar fahaman di Malaysia, kata mufti

Leave a Reply