MP kerajaan kemuka usul undi percaya terhadap PM – speaker

Share

Usul undi percaya bagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah dikemukakan dari ahli parlimen belah kerajaan, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Usul percaya, jika dikalahkan, bermaksud Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat .

“Kita memang ada terima usul undi percaya terhadap perdana menteri, usul itu datang daripada sebelah kerajaan, tetapi kita akan tunggu usul yang lebih penting daripada pihak kementerian untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat,” kata Azhar seperti dipetik oleh Utusan Malaysia dalam laporan edisi cetak hari ini.

Tidak jelas siapa yang mengemukakan usul undi percaya itu. PAS sebelum ini pernah mengemukakan usul serupa semasa sidang Parlimen terakhir pada bulan Julai lalu, tetapi ini tidak dibahaskan.

Di bawah aturan mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Sementara itu, Azhar juga mengesahkan Dewan Rakyat telah menerima lebih daripada 16 usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Azhar, bagaimanapun, memberitahu Utusan bahawa “banyak lagi usul penting telah diterima selain meletakkan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2021”.

Sebelum ini adalah dilaporkan bahawa ahli parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad dan empat anggota parlimen yang berpihak kepadanya telah mengemukakan lima usul seumpama itu.

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mendesak supaya usul undi tidak percaya dikemukakan.

Speaker dalam sepuck surat bagi menjawab Razaleigh, berkata bahawa urusan bukan kerajaan hanya boleh mengatasi urusan kerajaan sekiranya ia mendapat sokongan daripada seorang menteri.MK

Pandangan Azhar tentang usul tak percaya dulu dan sekarang

Leave a Reply