Jakim batal sambutan Maulidur Rasul

Share

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan untuk membatalkan acara Sambutan Maulidur S.A.W Peringkat Kebangsaan tahun ini demi menjaga kemaslahatan rakyat dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, beberapa program sudah diatur bagi meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Rasulullah namun, ia dilaksanakan mengikut normal baharu yang akan disiarkan secara langsung atau rakaman di televisyen dan portal media sosial Jakim.

“Kami menzahirkan penghayatan tersebut dengan inisiatif normal baharu yang lebih santai melalui program Semarak Cinta Rasul bermula esok hingga 3 November ini dan program pertama bermula esok dengan bacaan al-Quran oleh Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi TV1.

“Program lain termasuk tayangan video khas Ibrah bertajuk ‘Muhammad’ dan Tausiyah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta bual bicara menampilkan pendakwah terkenal negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, program lain diatur termasuk rancangan bual bicara muzikal ‘Kasih Junjungan’ yang akan disiarkan pada Khamis ini, pukul 10.30 pagi di TV1 diikuti Forum Perdana Hal Ehwal Islam bermula pukul 9 malam yang menampilkan Ustaz Mohd. Asyraf Mohd Ridzuan, Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki dan Ustaz Elyas Ismail.

Abdul Aziz berkata, bermula 29 Oktober hingga 3 November ini, TV1 turut menyiarkan siri Kapsul Maulidur Rasul yang menampilkan enam personaliti dakwah bagi membicarakan pelbagai topik mengenai Rasulullah.

Menurutnya, pihaknya juga menganjurkan pertandingan video kreatif dengan kerjasama strategik Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan melancarkan
Kempen Malaysia Berselawat di media sosial bagi memberi peluang kepadan netizen menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad.

“Menerusi Kempen Malaysia Berselawat, netizen boleh merakam selawat dan memuatnaik di media sosial, dengan tanda pagar SemarakCintaRasul,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga akan menerbitkan Buletin Khas sempena Maulidur Rasul tahun ini untuk edaran di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan dan ia juga boleh dimuat turun melalui portal Jakim.-K!ONLINE

Salam Maulidur Rasul 1439H

Leave a Reply