Tiada jaminan Umno sokong Belanjawan 2021 jika Muhyiddin abai permintaan

Share

Susulan keputusan semalam untuk terus menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, sebahagian ahli Umno berkata mereka akan beri Muhyiddin masa 1 bulan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Orang dalam parti itu berkata walaupun Belanjawan akan dibentangkan pada 6 Nov, undian hanya akan dibuat kira-kira 3 minggu kemudian atau lebih.

“Dari masa sekarang hingga mengundi nanti, jika kes Covid-19 berkurangan secara drastik, sebahagian daripada kami mungkin masih boleh menggesa presiden mendesak pilihan raya kilat serta-merta dengan tidak menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan,” kata seorang orang dalam Umno kepada FMT.

Untuk mengelak keadaan ini berlaku, Muhyiddin perlu menerima permintaan Umno, termasuk meletak ahli Parlimen Umno di jawatan “strategik” untuk meningkatkan imejnya.

Menambah Umno sudah “betul-betul bosan” dilayan seperti rakan yang tidak setaraf dalam gabungan pemerintah, beliau berkata mereka akan menunggu dan melihat komitmen Muhyiddin kepada menjadikan Umno setaraf.

“Jika Muhyiddin mahu kami bertolak ansur, beliau juga harus bertolak ansur dengan kami. Tidak boleh sepihak sahaja,” katanya.

Orang dalam yang lain pula menambah kerjasama antara Umno dan PPBM bergantung kepada sama ada Muhyiddin memenuhi permintaan Umno sebelum pengundian Belanjawan 2021.

“Walaupun Umno dilihat lemah selepas kuasa kembali kepada Muhyiddin, beliau tidak boleh mengabaikan kami kerana pentadbirannya akan runtuh jika kami desak adakan pilihan raya kilat,” tambahnya.

Semalam, Umno memberi ruang kepada pemerintahan Muhyiddin untuk bertahan dengan memutuskan tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan majlis kerja tertinggi bersetuju ahli Parlimennya harus terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan susulan mesyuarat berakhir pada sekitar 12.15am di Pusat Dagangan Dunia Putra, ia juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi.

Muhyiddin, Umno terperangkap

Selain itu, penganalisis politik Azmi Hassan berkata Umno memutuskan untuk bersama dengan Muhyiddin dalam PN kerana pilihannya terhad.

“Jika bukan Muhyiddin, maka Anwar Ibrahim tetapi Umno tidak mahu bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Umno tidak dapat mendesak pilihan raya kilat kerana bilangan kes Covid-19 adalah tinggi pada setiap masa, dengan 1,240 kes dilaporkan semalam.

“Kedua-duanya terperangkap. Jika Umno tarik diri daripada PN, Muhyiddin tiada angka sokongan secukupnya, dan jika Umno tidak pilih Muhyiddin, pilihan seterusnya Anwar yang mana ramai orang dalam Umno tidak bersetuju dengannya,” katanya.

Untuk maju ke depan, pilihan yang tinggal adalah Muhyiddin bertolak ansur dengan Zahid dan presiden Umno itu pula memberi kerjasama kepada perdana menteri itu, tambah beliau.

Azmi berkata Umno dan PPBM masih akan kebuntuan dalam isu pengagihan kerusi, terutamanya kerusi yang dimenangi Umno tetapi kini milik PPBM disebabkan penghijrahan wakil rakyat.

Ini termasuk kerusi menteri PPBM seperti Hamzah Zainudin (Larut) dan Mustapa Mohamed (Jeli).

“Umno mahu ambil balik kerusi yang diambil PPBM semasa zaman Pakatan Harapan. Sebahagian kerusi ini kini milik menteri PPBM.

“Untuk kedua-dua pihak bekerjasama, mereka perlu bertolak ansur di kerusi-kerusi itu untuk mengelak kebuntuan yang lain pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Pada 13 Okt, Umno mengejutkan negara apabila ia mengumumkan ia menimbang sokongannya kepada PN. Turut dilaporkan beberapa ahli Parlimen Umno menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin seterusnya meminta Agong mengisytiharkan darurat, yang boleh menyebabkan Parlimen digantungkan.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak Agong selepas berbincang dengan Raja-raja Melayu. FMT

Anwar dakwa ditawar jawatan PM, TPM Diterbitkan 3 jam lepas

Leave a Reply