Sambung lawan ‘bunga’ selepas krisis, selesai Covid-19 dahulu, kata Nazri

zahid muhyi

PETALING JAYA: Parti Melayu dengan jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan pemerintah semasa meneruskan sokongan kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dan pentadbiran Muhyiddin Yassin lewat malam tadi, namun keamanan dijangka bertahan selagi krisis Covid-19 belum diatasi dan konsensus antara parti dihormati.

Ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz, maklum akan perselisihan antara partinya dan PPBM mutakhir ini, yang membawa kepada Umno menetapkan syarat-syarat baharu untuk meneruskan kerjasama dengan PN, namun buat masa ini mahu tumpu melawan wabak.

“Kita fokus lawan Covid-19 dengan kerajaan sekarang. Lepas itu kita lawan. Masalah dengan ‘bunga’ tak habis lagi. Setakat ini kita sokong,” katanya kepada FMT, mengulas ketetapan mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno semalam.

Beberapa hari ini menyaksikan konvoi beberapa orang penting dalam kerajaan dan politik ke pejabat perdana menteri, rumahnya, dan Istana Abdulaziz di Kuantan, dan Agong menolak cadangan mengisytiharkan darurat, di sebalik persoalan mengenai kedudukan sokongan kepada Muhyiddin di Dewan Rakyat menjelang Belanjawan 2021 yang patut dibentangkan 6 Nov.

Ia rentetan daripada ketidakpuasan hati akar umbi Umno terhadap PPBM dan kemudian, pengumuman oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, pada hujung September mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada pelbagai parti dan kebanyakannya ahli Parlimen Bumiputera. Beberapa pemimpin PN cuba meremehkan dakwaan ini.

“Tidak perlu nak sibuk buat pakatan baharu,” kata Nazri hari ini. Semalam, dalam ia meneruskan sokongan kepada PN, Umno menggesa prinsip kerjasama berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik ditambah baik, dan menyarankan inisiatif rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional.

“Itu satu keputusan terbaik. Sekarang ini apa berlaku? Covid-19. Kita semua perlu memerangi Covid-19. Fokus ke arah itu untuk selesaikan masalah ekonomi…ahli-ahli politik pula sibuk nak kejar kuasa. Selesai benda ini, kita lawan,” katanya.

Sementara itu, ahli majlis kerja tertinggi Umno, Puad Zarkashi, yang lantang mengkritik Muhyiddin baru-baru ini akur dengan keputusan partinya, namun mengingatkan FMT akan sifat sebenar sokongan ketika ini.

“Sebenarnya ayat yang tepat ialah ahli Parlimen Umno terus mendokong kerajaan PN,” katanya.

Beliau berkata Umno secara jelas menyatakan dokongan itu mesti berasaskan konsensus antara parti. “Umno mesti dirundingi dalam perkara dasar seperti isu perisytiharan darurat mesti konsensus.”

“Sebab itu Umno menyokong keputusan Agong dan Majlis Raja-raja yang menolak nasihat perdana menteri (cadang darurat) – Umno pun tidak dirundingi,” tambahnya.

Seorang lagi ahli MKT, Annuar Musa pula yakin sebarang kesilapan dalam aturan antara partinya dengan PN boleh diperbetulkan dan sebarang kelemahan boleh diperbaiki.

“Yang renggang kita rapatkan,” katanya.

Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sayap itu berterima kasih kepada kepimpinan Umno kerana mendengar suara mereka yang menyarankan parti Melayu itu mempelopori “Agenda Rekonsiliasi Nasional atau Perdamaian Nasional”.

“Bagi memfokuskan kepada agenda rakyat yang sedang susah dan membantu kerajaan memulihkan negara yang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan hambatan ekonomi,” katanya.-FMT

Status quo dan pakatan politik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker