Malaysia kecam Charlie Hebdo mahu terbit semula karikatur Rasullulah · MYKMU.NET

Malaysia kecam Charlie Hebdo mahu terbit semula karikatur Rasullulah

Share

Malaysia mengecam tindakan akhbar mingguan Satira Perancis, Charlie Hebdo yang mahu menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mewakili kerajaan Malaysia dan umat Islam di negara ini menulis surat kepada Kedutaan Perancis berhubung hal berkenaan.

Menerusi surat itu, Zulkifli turut meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan tindakan akhbar berkenaan, namun turut menyatakan, sebagai umat Islam, pihaknya tidak akan membalas dendam dengan cara sama dilakukan oleh akhbar itu kerana menganggap ia sebagai tidak hormat terhadap orang lain.

“Sukar untuk mempercayai dunia moden ini, ada antaranya masih belum mengetahui mengenai pentingnya hidup bersama dalam keadaan aman dan damai. Islam juga bukanlah satu agama asing di Perancis.

“Perancis antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957.

“Semoga peristiwa ini memberi pengertian yang besar serta meneruskan hubungan erat antara Malaysia dan Perancis,” katanya menerusi surat yang dihantar kepada Duta Perancis di Malaysia, hari ini.

Selain surat berkenaan, Zulkifli turut menyerahkan salinan buku al-Shama’il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad), iaitu buku biografi kenabian diterjemahkan dalam bahasa Inggeris kepada kedutaan berkenaan.

“Saya ingin menarik perhatian Tuan Yang Terutama, pada bulan suci Rabiul Awal ini, ia adalah waktu yang tepat untuk mendapatkan salinan buku mengenai biografi kenabian (sirah) dan belajar mengenai kehidupan Nabi Muhammad SAW, tingkah laku dan watak-wataknya yang indah.

“Anda hanya boleh benar-benar mencintai seseorang jika anda tahu siapa dia. Kita sebagai umat Islam tidak akan membalas dendam kartun yang provokatif dengan cara sama. “Yang terbaik di antara kamu orang tidak menyakiti orang lain dengan lidah dan tangannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Charlie Hebdo mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, yang menjadi punca serangan daripada penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015.

Difahamkan, tindakan itu adalah bagi menandakan bermulanya perbicaraan pasangan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris.

Seramai 12 orang termasuk beberapa kartunis terkemuka Perancis, terbunuh dalam tragedi 7 Januari 2015 itu. Selain dua beradik terbabit, 14 individu lain didakwa bersekongkol dalam serangan sama, yang turut menyasarkan sebuah pasar raya Yahudi.

Semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan ketika berucap dalam Program Pembukaan Minggu Maulid Nabi di Pusat Kongres dan Kebudayaan Nasional Beştepe di Ankara, dilaporkan menggesa untuk memboikot membeli barangan Perancis susulan serangan dan kenyataan Islamophobia oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron. BH

Charlie’s Angels kawal ancaman monyet liar

Leave a Reply