Kedudukan PKS makin sukar, DPMS rayu moratorium automatik

Dewan Perniagaan Muslim Sabah ( DPMS) memohon kepada kerajaan Pusat dan Negeri untuk memberi tumpuan untuk membantu rakyat Sabah dan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS) yang terkesan teruk akibat daripada pandemik Covid-19.

Penasihat Kehormat DPMS, Mohd Ansar Maidin dalam kenyataannya berkata, rakyat Sabah dan pengusaha PKS berada dalam keadaan yang susah akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah.

Malah, bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat juga merisaukan rakyat keadaan ekonomi Sabah untuk beberapa bulan akan datang.

Sektor PKS, walaupun diberi peluang untuk dibuka, tetapi ramai masih memilih untuk menutup perniagaan kerana risau penularan wabak tersebut.



Perniagaan yang dibuka juga kurang mendapat sambutan dan sekadar mampu untuk bertahan buat sementara waktu.

Oleh itu, Mohd Ansar memohon kerajaan untuk melaksanakan lanjutan moratorium secara automatik kepada seluruh peminjam di Sabah untuk tempoh 3 hingga 6 bulan, terutama kepada sektor PKS.

”Jika dibiarkan kepada pihak bank, mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.

”Ada pihak bank yang mengenakan faedah yang tinggi untuk tambahan penangguhan bayaran, yang mana ianya juga satu bebanan kepada para peminjam,” katanya.



Selain itu, DPMS memohon kerajaan menambahkan Bantuan Prihatin kepada golongan B40 dan M40 untuk meringankan beban rakyat, disamping merangsang sedikit ekonomi yang lembab di negeri Sabah buat masa ini. DPMS menyambut baik semua bantuan Prihatin kerajaan sebelum ini dan memohon agar ianya ditambah dan disemak mengikut keperluan dan situasi terkini.

Buat masa ini, seluruh rakyat Sabah telah menerima kesan yang teruk.

DPMS juga meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk mengeluarkan simpanan akaun 1 di KWSP secara one off untuk membantu meringankan beban kepada yang mempunyai keperluan terdesak.

Kepada Kerajaan Negeri Sabah, melalui Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan, DPMS memohon untuk membantu para peniaga untuk membatalkan bayaran tertentu kepada PBT bermula daripada bulan Mac yang lalu.



Antara bayaran tersebut ialah, Bayaran lesen Restoran, Bayaran Iklan Perniagaan seperti papan tanda , Bayaran sewa ruang legar dan kaki lima terutama kepada restoran dan bayaran bayaran lain yang dikenakan kepada premis perniagaan bagi tahun 2020 untuk mengurangkan kos perniagaan agar perniagaan dapat bertahan dalam situasi pandemik tersebut.

Untuk rekod, PBT masih mengenakan bayaran tersebut walaupun perniagaan ditutup.

Kepada pemilik premis perniagaan, DPMS merayu agar semua pemilik dapat memberikan potongan bayaran sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terkesan teruk.

Semua peniaga sudah tentu tidak dapat membayar sewa seperti kebiasaannya dan memohon untuk memberikan keringanan tertentu kepada para penyewa, tambahnya.



Mohd Ansar berkata, walaupun perkara ini bukan satu paksaan, untuk kepentingan bersama para penyewa dan pemberi sewa, perkara tersebut perlu di titik beratkan mengikut budi bicara dan perbincangan antara pihak terlibat. MG

Najib gesa bank lanjut moratorium pinjaman secara automatik



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker