Pegawai Malaysia mesti ‘lebih beradab’, kata bekas pelarian

Seorang pelarian Syria yang pernah terkandas di terminal klia2 selama 7 bulan pada 2018 bercakap mengenai pembaharuan dibuat di pusat tahanan imigresen di Malaysia.

Hassan al-Kontar berkata, dasar berkaitan pelarian di Malaysia terbelakang berbanding negara maju dan ramai rakyat Malaysia “salah maklumat ” tentang keadaan di pusat tahanan.

“Pegawai imigresen dan polis di pusat tahanan harus lebih beradab. Mereka harus peka dengan hak asasi manusia,” katanya kepada FMT.

“Mereka menahan seorang budak Rohingya berumur 12 bersama-sama saya di pusat tahanan. Seorang budak,” katanya.

“Terdapat wanita dengan bayi berumur 3 atau 4 bulan di dalam sel wanita. Ia tidak dapat diterima berdasarkan apa-apa standard sekali pun.”

Hassan berkata, perjalanan Malaysia masih jauh dalam isu menangani pelarian dan pencari suaka.

Bagaimanapun, walaupun berdepan kesukaran selama 9 bulan, beliau masih menyimpan sedikit rasa senang dengan negara ini.

Selama 7 bulan pada 2018, Hassan tinggal di dewan pertibaan klia2. Beliau menjalani hidup dengan makan hidangan pesawat yang didermakan kepadanya, mandi di bilik air khas untuk OKU dan tidur di bawah tangga.

Beliau terkandas di lapangan terbang itu kerana tidak dapat pulang ke Syria susulan peperangan yang berlaku, tetapi gagal memasuki Malaysia kerana ketiadaan dokumen perjalanan.

Kisahnya menarik perhatian dunia, sekali gus mengetengahkan krisis pelarian yang gagal diatasi sehingga kini.

Hassan kemudiannya berpindah ke Kanada selepas ditaja oleh sekumpulan rakyat negara itu, yang disifatkannya sebagai “pasukan pembela”. Beliau akhirnya memperoleh status pemastautin tetap di sana.

Sebagai bekas ejen insurans, beliau kini berikrar untuk membantu pelarian lain mendapat kebebasan yang sedang dinikmatinya.

“Saya bukan aktivis sebelum saya bertolak ke Malaysia,” kata Hassan, “tetapi insiden yang berlaku dan pengalaman hidup di lapangan terbang entah bagaimana mengubah saya.

“Saya menjadi seseorang yang tidak mudah ditakutkan oleh pembuli seperti imigresen atau sistemnya.

Walaupun berdepan “kebencian” dan “permusuhan” daripada pihak berkuasa, Hassan berkata, “ia menjadikannya seperti hari ini dan beliau amat berterima kasih”.

Beliau kini bekerja dengan Operation #NotForgotten, satu inisiatif kutipan dana yang bertujuan menaja ratusan pelarian yang ditahan di Kepulauan Manus dan Nauru supaya mereka mendapat peluang bermastautin di Kanada.

Setakat ini, mereka menghantar lebih 60 permohonan dan berjaya mengumpul dana sebanyak C$1.5 juta (RM4.73 juta).

Beliau juga adalah sukarelawan Persatuan Islam British Columbia dan Bulan Sabit Merah serta dalam proses menjadi warganegara Kanada.

“Alhamdullilah saya berada di sebuah negara yang menghargai manusia serta maruah dan hak mereka.

“Saya selamat dan ia adalah perasaan tidak ternilai harganya. Saya bebas. Saya mempunyai suara dan nilai. Inilah yang saya perjuangkan selama ini,” katanya. FMT

Pelarian boleh sumbang RM3b KDNK menjelang 2024.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker