Komuniti tanpa dokumen juga wajar dibantu, kata NGO

Lelaki Palauh (Bajau Laut) dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mendayung perahu mengejar bot pihak berkuasa untuk meminta bantuan. (Gambar Youtube)

KOTA KINABALU: Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali Asli berkata, bantuan seperti bakul makanan harus diberikan kepada semua yang terjejas akibat wabak Covid-19, termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen.

Katanya, kerajaan perlu akui bahawa mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ini sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di Sabah dan wajar diberi bantuan.

”Penularan Covid-19 bertambah teruk di Sabah sejak beberapa hari ini dan sudah pasti ia menjejaskan ramai orang. Bantuan kerajaan sangat diperlukan ketika ini, termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen.

“Suka atau tidak, kerajaan perlu akui bahawa mereka yang tidak berdokumen adalah sebahagian daripada masyarakat yang tinggal di Sabah.

 

 

Sherzali Asli.

Sherzali berkata, sekiranya kerajaan tidak dapat memberi bantuan yang setara dengan penduduk tempatan, sekurang-kurangnya mereka diberikan bantuan bakul makanan.

”Kebanyakan mereka yang tidak berdokumen ini adalah golongan susah dan pastinya bantuan bakul makanan menjadi sangat bermakna untuk meneruskan kelangsungan hidup.

”Wabak Covid-19 semakin buruk di Sabah sejak beberapa hari ini dan sudah pasti ramai yang terjejas terutama golongan kurang berkemampuan, sudah tiba masanya kerajaan mengambil perhatian serius perkara ini,” katanya.

 

 

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pusat Hak Asasi Manusia Sabah dengan menyalurkan dana untuk membeli barangan keperluan asas dan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Semalam bekas perdana menteri, Najib Razak dalam catatan di Facebook menyeru kerajaan supaya segera menyalurkan lebih banyak bantuan kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Katanya, ini termasuklah penduduk Palauh (Bajau Laut) di Semporna yang dipercayai tidak mendapat bantuan bakul makanan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

”Mereka tidak peduli jika darurat diisytiharkan atau tidak, mereka perlukan bantuan serta-merta dan mereka tidak sanggup keluarga kelaparan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar tabung Covid Sabah diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada NGO di negeri itu bagi membantu penduduk yang terjejas.

Najib turut berkongsi satu video pasukan polis marin yang menyaksikan seorang warga emas lelaki Palauh mendayung perahu bagi meminta bantuan daripada pihak berkuasa.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Semporna itu, lelaki terbabit mendakwa mereka menghadapi kesusahan hidup berikutan tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.

Lelaki itu juga mendakwa beliau dan penduduk kampung lain tidak mendapat bantuan bakul makanan kerana tiada dokumen-FMT

Covid-19: Pakcik Ni Sanggup Kejar PoIis Marin Dengan Sampan Untuk Dapatkan Bantuan Makanan, Meruntun Jiwa.. [Video]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker