Jemaah menteri akan bincang lebih lanjut titah Agong, kata Muhyiddin

Share

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata jemaah menteri mengambil maklum mengenai “pendapat” Yang Di-Pertuan Agong yang menyifatkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin juga berterima kasih atas nasihat baginda agar ahli politik berhenti mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan.

“Jemaah menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

“Jemaah menteri akan berbincang dengan lebih lanjut akan titah Seri Paduka Baginda Tuanku.

“Keutamaan jemaah menteri dan kerajaan pada masa ini Ialah untuk melindungi rakyat daripada wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataa media malam ini.

“Saya menjunjung kasih di alas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat,” kata Muhyiddin lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus pertemuan tidak rasmi yang dihadiri beberapa menteri di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam ini.

Jumaat lalu, Muhyiddin mengusulkan kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Kerajaan menggambarkan langkah itu sebagai perlu untuk memerangi pandemik Covid-19.

Namun, pengkritik mendakwa ia adalah usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukannya di tengah spekulasi bahawa sekumpulan anggota parlimen Umno mungkin tidak lagi menyokongnya, yang boleh menyebabkannya kehilangan majoriti di parlimen.

Sekiranya Muhyiddin kehilangan majoriti, dia tidak akan dapat meluluskan Belanjawan 2021, yang juga merupakan pengakhiran buat kerajaan yang diterajuinya.

Selepas berbincang dengan raja-raja Melayu, Sultan Abdullah akhirnya memutuskan untuk tidak perkenan menerima permintaan Muhyiddin.

Sultan Abdullah juga mengingatkan agar pemimpin politik bersama dalam memerangi Covid-19 dan tidak menggugat pentadbiran kerajaan. Mk

Tak benar ada pertemuan Zahid, Anwar bincang sokongan MP

Leave a Reply