Agong perlu halang salah guna kuasa, kata raja

Selepas perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad, 8 raja Melayu menekankan keperluan semak dan imbang serta peranan Agong dalam menjamin keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada Ahad, raja-raja Melayu berkata, mereka menghargai semangat rundingan dan konsultasi yang ditunjukkan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung cadangan kerajaan mengisytiharkan darurat kerana krisis Covid-19 dan ketidakstabilan politik.

“Semangat tersebut selaras budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

“Dalam perjumpaan tersebut, raja-raja mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan panduan dan rujukan untuk membantu baginda membuat ketetapan.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.”

Lapan raja yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara pada Ahad ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Yang Dipertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, tiada dalam senarai itu.

Kenyataan raja-raja Melayu ini menyusul keputusan Sultan Abdullah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Agong turut mengingatkan ahli politik berhenti berpolitik dan menekankan kepentingan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov ini.

Timbul spekulasi ahli Parlimen mungkin menolak Belanjawan 2021 yang akan menyebabkan peletakan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya secara automatik. FMT

https://mykmu.net/2017/06/02/terlupakah-azmin-akan-titah-sultan-selangor-pada-12-mei-2017/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker