Keputusan Agong bermakna jangan salah guna Perlembagaan

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berharap keputusan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional mengisytiharkan darurat menjadi pengajaran yang mematangkan semua pihak.

Katanya, keputusan Agong dan raja-raja Melayu sangat bijaksana dan “secara tidak langsung memberi makna yang selayaknya kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan agar ia tidak digunakan sewenang-wenangnya”.

Beliau berkata, keputusan itu turut menunjukkan keyakinan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah terhadap keupayaan sistem kesihatan negara, penjawat awam dan rakyat dalam mengatasi krisis Covid-19.

“Kebijaksanaan dan hikmah Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patik serta rakyat Malaysia bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat, meraikan demokrasi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Keputusan Agong itu turut diraikan pengguna media sosial dengan hashtag #DaulatTuanku dan pujian kepada Sultan Abdullah.

Antara mereka yang memberi respons kepada hashtag itu ialah Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki. Mereka berdua memuat naik kenyataan Istana Negara ke Twitter.

Bekas menteri sumber manusia dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran mengucapkan terima kasih kepada Agong kerana “selalu menjadi raja rakyat dan melakukan yang terbaik untuk negara”.

Katanya, sudah sampai masanya untuk mengetepikan politik dan bekerjasama untuk membendung Covid-19.

Peguam MCA, Chan Quin Er dalam tweetnya berkata, pengisytiharan darurat hanya patut digunakan “ketika fungsi normal negara tidak dapat lagi dikekalkan”.

“Keputusan Agong menggambarkan kebanggaan dan rasa cinta terhadap demokrasi kita.”

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi Twitternya berkata, ini kali pertama dalam sejarah Malaysia, cadangan utama perdana menteri ditolak.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti itu mengucapkan terima kasih terhadap keputusan Agong.

“Amanah akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan petang tadi mengumumkan Agong selepas berbincang dengan raja-raja Melayu memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan di seluruh negara ketika ini kerana kerajaan berjaya menangani pandemik itu dengan baik dan berkesan.

Agong berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini amat penting kepada rakyat dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara dan mengingatkan ahli politik berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas. FMT

Undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, tidak bermakna sokong Anwar – MP UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker