Darurat akan beri kesan lebih negatif, tambah keresahan rakyat – UMNO Perak

Darurat akan beri kesan lebih negatif, tambah keresahan rakyat - UMNO Perak
Saarani menyarankan bantuan kebajikan, ekonomi dan kesejahteraan terus dilaksanakan, termasuk moratorium, Bantuan Prihatin serta lain-lain bantuan kewangan. – Gambar fail

IPOH: UMNO Perak berpendapat pengisytiharan darurat bukan jalan yang baik untuk membendung penularan COVID-19 serta membantu meringankan beban rakyat.

Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad berkata, sebaliknya, darurat akan membawa kesan yang lebih negatif, mengancam kestabilan serta merosakkan ekonomi rakyat dan negara.

Pada pendapat UMNO Perak, langkah itu akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan mengancam sistem ekonomi perniagaan yang dinikmati selama ini, katanya.

“Harus diingat, pelaksanaan darurat mencetuskan ‘force majeure’ di mana segala kontrak tidak perlu dipenuhi.

“Darurat akan dilihat sebagai situasi tidak dijangka yang akan menyebabkan serta menghalang sesuatu pihak daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak,” kata Saarani.

Bercakap dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak lewat malam tadi, beliau berkata, hakikatnya darurat akan menambah keresahan rakyat kerana ia memperlihatkan suasana buruk dan gelap.

Di samping itu, katanya, menggantung Parlimen juga akan dilihat sebagai cubaan untuk mengkhianati mandat rakyat dan sistem demokrasi yang diamalkan.

“Keadaan ancaman COVID-19 tidak boleh disamakan dengan ancaman pengganas komunis pada tahun 1969 yang memaksa Kerajaan Perikatan ketika itu mengisyhtiharkan darurat.

“Pastinya jika dilaksanakan sekarang dengan menggunakan alasan pandemik ini, ia akan mewujudkan persepsi bahawa pemimpin kerajaan berlindung di sebalik COVID-19 untuk mengekalkan kuasa dengan usaha untuk menjadi diktator,” ujarnya.

Sebaliknya, kata Saarani, UMNO Perak berpandangan, bagi usaha tegas untuk melindungi rakyat, kerajaan perlu memperkasakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk mengetatkannya di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

Di samping itu, beliau menyarankan bantuan kebajikan, ekonomi dan kesejahteraan terus dilaksanakan, termasuk moratorium, Bantuan Prihatin serta lain-lain bantuan kewangan.

Menurutnya, UMNO Perak memahami kesengsaraan, kepayahan dan kegetiran yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik COVID-19 dengan peningkatan jumlah jangkitan serta angka korban.

“Kami merasakan keresahan rakyat yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, mata pencarian dan pendapatan akibat serangan pandemik ini,” kata beliau.-Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker