COVID-19: Jika darurat diisytihar, Malaysia bukan negara pertama di dunia laksanakannya

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa bakal berlakunya pengisytiharan perintah darurat di negara ini susulan peningkatan kes COVID-19.

Perkara itu tentunya menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat seterusnya mencetuskan perbincangan hangat.

Bagaimanapun, tahukah anda, sekiranya Malaysia mengisytiharkan proklamasi darurat, negara ini bukan negara pertama di dunia untuk berbuat demikian bagi mengawal penularan wabak COVID-19?

Menurut Pusat Hak Sivil dan Politik (CCPR), sejumlah 79 negara telah atau pernah mengumumkan perintah darurat yang dilaksanakan pada pelbagai tahap.

Berdasarkan data CCPR yang diterbitkan di Data Studio Google bertajuk ‘COVID-19 State of Emergency Data’, negara-negara yang pernah atau sedang melaksanakan perintah darurat termasuk Australia, Perancis, Finland, Indonesia, Filipina, Jepun dan Thailand.

Pada 15 Oktober, Perancis melaksanakan darurat kesihatan yang memberikan kuasa kepada para pegawai untuk mengenakan tindakan baharu dalam membendung pandemik itu.

Kerajaan Perancis berkata wabak COVID-19 tergolong sebagai bencana kesihatan kerana ia membahayakan kesihatan rakyat negara itu dan mengorbankan nyawa.

Di Sepanyol pula, kerajaan negara itu mengumumkan perintah darurat pada 9 Oktober lalu di Madrid susulan peningkatan kes COVID-19 di ibu negara itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat lalu berkata, Jepun juga pernah melaksanakan perintah darurat pada April lalu yang berlanjutan selama satu setengah bulan.

“Di Jepun, Itali (juga melaksanakan darurat) dan Romania telah menangguhkan pilihan raya mereka kerana COVID-19.

“Malah, di Amerika Syarikat, ada 48 negeri daripada 50 negeri diisytiharkan darurat,” kata Dr Mohd Azizuddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pengisytiharaan darurat dilaksanakan di negara ini, ia tidak semestinya dilaksanakan di seluruh negara.

Sebaliknya, perintah darurat itu boleh dilakukan di negeri-negeri tertentu sahaja.

“Cuma saya rasa darurat ini tidak mesti melibatkan seluruh negara tetapi boleh diisytiharkan di negeri-negeri tertentu, misalnya Sabah yang agak tinggi kes COVID-19.

“Jadi, boleh diisytiharkan di Sabah sahaja berbanding di negeri lain,” katanya.

Satu pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja-Raja Melayu dijangka akan diadakan pada Ahad (25 Oktober) di Istana Negara bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan COVID-19.

Menurut sumber, pertemuan khas itu dijadualkan akan bermula pada jam 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak akan melibatkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada Jumaat-Awani

Darurat jalan terakhir mengekang ahli politik gila kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker