Azmin bidas Anwar gila kuasa

Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali membidas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai pembohong gila kuasa yang cuba menimbulkan ketidakstabilan dan kebencian ketika penularan Covid-19, oleh itu beliau menggesa ahli politik bersatu menentang Covid-19.

Beliau berkata, tindakan presiden PKR itu cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin baru-baru ini “jelas ialah kerja individu gila kuasa yang didorong sikap mementingkan diri dan motif egotistik yang merasakan seolah-olah jawatan perdana menteri adalah haknya sejak lahir”.

“Dalam usaha berterusannya untuk menjadi perdana menteri, Anwar menggunakan pembohongan secara terang-terangan dan helah bukan saja terhadap negara, tetapi juga Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ia disusuli ahli Parlimen Port Dickson itu menghadap Agong pada 13 Okt lalu untuk menunjukkan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi bagi menubuhkan kerajaan baru.

Azmin turut menyifatkan kenyataan Anwar semalam mengenai kemungkinan negara menjurus ke arah pemerintahan diktator (jika darurat diisytiharkan) ialah tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, pemimpin politik, tanpa mengira fahaman mereka, perlu mengetepikan perbezaan dan bersama rakyat serta kerajaan untuk melawan Covid-19.

Beliau turut mengkritik ahli politik pembangkang cuba menimbulkan ketakutan dan kebencian rakyat terhadap “usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk menjamin kesihatan dan keselamatan awam serta memastikan pemulihan ekonomi”.

“Dalam keadaan ini, wajar untuk kita bersatu di sebalik semua usaha untuk membendung pandemik dan meratakan lengkung sambil memastikan gangguan minimum terhadap ekonomi.” FMT

Shafie punca lonjakan kes COVID-19, bidas Musa Aman

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker