Saya tiada kepentingan peribadi untuk jawatan PM

Share

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan tuntutannya agar parlimen mempercepatkan perbahasan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, dia tidak bertindak demikian atas kepentingan peribadi untuk mendapatkan jawatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, ahli politik veteran itu merujuk suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun bagi mendesak parlimen membahaskan usul yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Inisiatif saya ini tidak boleh dianggap untuk diri sendiri atau mempunyai kepentingan peribadi terhadap jawatan perdana menteri,” katanya sambil menegaskan langkah itu dilakukan bagi menegakkan prinsip sistem parlimen.

Katanya, dia mempunyai alasan untuk meyakini bahawa Muhyiddin dan kabinetnya sudah hilang keabsahan kerana tidak lagi mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Tengku Razleigh atau lebih popular dengan gelaran Ku Li itu berkata dia terkejut apabila mendengar kabinet mencadangkan pengiytiharan darurat.

“Saya kecewa dan terkejut apabila perdana menteri (dengan sokongan kabinetnya) sedang meminta perkenan YDPA untuk mengisytiharkan darurat, dan dipercayai (untuk) meletakkan dirinya sebagai pentadbir kerajaan dalam darurat yang mempunyai kuasa yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razaleigh menghantar surat bertarikh 25 September kepada Azhar, menyatakan usul tidak percaya sangat penting bagi menentukan sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

Beberapa anggota parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin, antaranya kem bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa ahli parlimen Amanah.

Dalam balasannya, Azhar berkata urusan bukan kerajaan hanya boleh didahulukan berbanding urusan kerajaan jika ia mendapat sokongan menteri.

Kata Razaleigh, rakyat kini sedang bergelut dengan wabak Covid-19, yang menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar, pengangguran, serta kesukaran mendapatkan kerja.

Tambahnya, ketika wabak mula-mula tular dahulu, dia dapat melihat azam kerajaan dalam langkah-langkah yang diambil termasuklah langkah kawalan kesihatan, rawatan dan bantuan kewangan.

‘Ada motif tidak jujur’

Namun akhir-akhir ini, dakwanya, pendekatan kerajaan kurang terurus dan bersepadu, menampakkan kelemahan kepemimpinan kerajaan, termasuklah layanan berat sebelah dalam penguatkuasaan dan denda terhadap rakyat dan menteri serta orang yang mempunyai “hubungan baik”.

Katanya lagi, meskipun Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi negara, rakyat dan ahli politik – kecuali beberapa orang yang culas – memberi kerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain Parlimen juga berjalan dengan baik.

“Tiada pemberontakan besar-besaran, tiada rusuhan di jalanan. Saya tak nampak asas jujur di sebalik permintaan seumpama itu (darurat), tetapi saya hanya boleh syak motif tak jujur di sebaliknya,” katanya.

Sebagai ahli ekonomi merangkap bekas menteri kewangan, katanya, seandainya darurat tetap dilaksanakan, dia yakin ia akan memburukkan ekonomi negara yang sedia terjejas.

“Saya boleh cakap dengan yakin, ia akan menjadi umpama memaku keranda ke atas ekonomi kita yang sedia teruk terkesan ini.

“Pelabur asing dan tempatan akan langsung menjauhi kita. Keyakinan perniagaan akan melebur,” katanya lagi. Mk

Muhyiddin yang dalam darurat, bukan negara – Mat Sabu

Leave a Reply